Proton Saga facelift 2019 ketika ini sedang hangat diperkatakan di laman-laman sosial dan juga laman-laman web permotoran tempatan sejak awal minggu ini. Apa tidaknya, beberapa siri penyebaran ‘foto bocor’ semakin berleluasa dan ia menimbulkan satu fenomena baharu mengenai kereta ‘sedan rakyat’ yang dinaik taraf itu.
Kami turut tidak ketinggalan untuk berkongsikan beberapa foto ruang dalaman kedua-dua varian Saga facelift 2019 yang akan ditawarkan nanti. Hari ini kami memuat naik dua lagi foto terbaharu yang mula tular sejak semalam. Foto-foto ini lebih memfokuskan kepada papan pemuka serta unit audio model tersebut dengan menampakkan sedikit perincian.
Kami tidak mahu untuk mengulas lanjut mengenai foto-foto tersebut, tetapi kami ingin mengesahkan apa yang pasti akan ada pada model ini. Kita bermula dari luar, perubahan yang paling ketara adalah rekaan jeriji, bampar depan dan belakang serba baharu. Jerijinya akan menampilkan motif berunsur anyaman atau sulaman yang dipanggil Infite Weave.
Bentuk bampar depannya pula lebih kemas dan terkini. Apa yang menarik, untuk varian Premium akan dilengkapi dengan lampu nyalan siang LED (DRL) pada bahagian bampar. Anda boleh merujuk hasil karya manipulasi digital yang dibuat oleh TheAjerul kerana ia dikatakan 90 peratus hampir sama dengan model sebenar.
JOM BACA >> PANAS : Foto papan pemuka Proton Saga facelift 2019 varian Standard pula tertiris
Bampar belakangnya turut mengalami perubahan dan kemasan jejalur krom pada bahagian diffusernya dikatakan hanya untuk varian Premium. Logo harimau Proton tidak lagi digunakan dan hanya ejaan P R O T O N sahaja yang tertera pada palang yang bersambung dengan lampu belakang.
Dikatakan rekaan rim aloi untuk varian Premium agak menarik dan satu lagi perubahan di bahagian luar adalah unit antena yang telah dipindahkan ke bahagian belakang. Ia masih menggunakan komponen yang sama, hanya kedudukannya sahaja yang berubah. Pada pendapat kami, lebih ‘afdal’ Proton menggunakan antena jenis ‘sirip jerung’ memandangkan lawan model ini, Perodua Bezza turut menggunakannya.
Perubahan seterusnya adalah di bahagian kabin, terutama sekali pada konsol tengah papan pemuka. Corong pendingin hawa kini diturunkan sedikit ke bawah dan tempatnya telah diambil alih oleh unit audio/infohiburan jenis terapung. Ia nampak seakan sebuah mini tablet yang terkeluar dari konsol tengah.
Untuk varian Standard, unit audionya akan berkongsi komponen yang sama dengan model Persona varian Standard. Sekali imbas ia nampak seakan seperti sebuah skrin sentuh. Bagi varian Premium, ia akan dipasang dengan unit infohiburan skrin sentuh berwarna bersaiz 7 inci, namun ia tidak dilengkapi dengan ciri Arahan Suara.
Panel meter turut dikemaskini dengan unit yang sama dengan Exora Running Change (RC) 2019, yang mempunyai kombinasi tolok meter jenis analog bersama skrin monoton yang akan memaparkan pelbagai maklumat. Tombol gear automatiknya yang turut dikongsi bersama Iriz dan Persona 2019 varian Executive.
JOM BACA >> PANAS : Foto papan pemuka Proton Saga facelift 2019 varian Premium tertiris
Jika diperhatikan pada foto bocor terbaharu yang dimuat naik pada artikel ini, kelihatan bentuk kunci untuk varian Standard mungkin berkongsi komponen sama dengan model Iriz dan Persona. Mungkin juga sarung fabrik tempat duduk akan menampilkan rekaan baharu.
Paling penting, perubahan yang paling dinantikan pada model ini telah direalisasikan oleh Proton. Akhirnya Proton telah menukar transmisi CVT dari Punch kepada transmisi automatik 4-kelajuan yang dibekalkan oleh Hyundai PowerTech.
Saga facelift 2019 hanya akan ditawarkan dalam dua pilihan varian – Standard (Manual atau Automatik 4-kelajuan) dan Premium (Automatik 4-kelajuan). Varian Standard pula akan dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Lima pilihan warnaakan ditawarkan, iaitu Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Armour Silver dan Rosewood Maroon.
Desas-desus mengatakan, varian Standard transmisi manual dengan ‘rim kompang’ bakal dijual pada harga RM30K, varian Standard transmisi automatik pada harga RM33K dan varian Premium pula dengan tanda harga dibawah RM40K. Harga semasa Saga untuk varian Standard transmisi manual adalah RM33,591.03, varian Standard transmisi CVT – RM36,343.22 dan varian Premium transmisi CVT – RM41,847.59 (harga di atas jalan untuk Semenanjung Malaysia)
Sudah pasti hati pemilik Saga model semasa akan bertambah pilu mendengar perkhabaran mengai harga Saga facelift 2019 ini walaupun ia sekadar khabar angin dari sumber yang boleh dipercayai. Jika segalanya berjalan lancar, ‘sedan rakyat’ ini akan diperkenalkan pada bulan Ogos dan pengeluarannya pula bakal bermula bulan depan. Nantikan!
JOM BACA >> INTIP : Kelibat Proton Saga facelift 2019 dikesan sedang mengisi minyak
JOM BACA >> RISIK : Proton X70 versi CKD – Apa yang kami tahu setakat ini
JOM BACA >> RISIK : Proton Saga facelift – Apa yang berubah?
JOM BACA >> Cermin bahagian penumpang dan belakang dibenarkan lebih gelap – Menteri Pengangkutan
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI