ARKIB

KATEGORI

Rencana

Panas! Malaysiakini bongkar kegiatan rasuah dalam JPJ yang menjadi wabak dalam industri logistik

Rencana

Views

Hari ini portal Malaysiakini membongkar kegiatan rasuah di kalangan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikatakan menjadi penjahanam industri logistik negara. Artikel yang diterbitkan pagi tadi itu telah ditulis oleh Lu Wei Hoong dan telah mendapat lebih 4.6 ribu perkongsian setakat ini. Jom kita baca artikel tersebut.

Rasuah dalam JPJ jahanamkan industri logistik

April tahun lalu, seramai 46 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang dicekup SPRM. Ia bukan sahaja mengejutkan masyarakat awam, tetapi turut menyuntik rasa takut terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang korup. Hasilnya, pegawai-pegawai JPJ di negeri lain meminta syarikat logistik berhenti merasuah mereka bagi mengelakkan menjadi perhatian SPRM.

Bagaimanapun selepas setahun penangkapan beramai-ramai itu, keadaan kembali seperti biasa. Ada antara mereka yang meminta ‘pampasan’ bagi bulan-bulan bersih tanpa rasuah itu. Setiausaha sebuah syarikat logistik, Ah Ching (bukan nama sebenar), berkata pegawai-pegawai itu kembali meminta bayaran pada Julai tahun lalu, tiga bulan selepas penangkapan di Pulau Pinang.

Katanya, pegawai JPJ tersebut pada mulanya takut, dan semua pemindahan wang digantung dua bulan (Mei dan Jun tahun lalu). Namun, mereka tegaskan bayaran Julai patut digandakan sebagai pembayaran balik untuk bulan-bulan sebelumnya. Selain itu, mereka turut mengugut yang lori syarikatnya nanti mungkin akan hadapi masalah sekiranya ingkar. Ah Ching berkata dia tidak selesa untuk menyelaraskan bayaran kepada pegawai-pegawai kerajaan yang korup itu.

Rasuah diberikan kepada penguat kuasa untuk menutup mata terhadap kesalahan seperti mengangkut barang melebihi muatan atau pembocoran maklumat awal berkaitan operasi yang akan dijalankan. Bayaran boleh dibuat secara segera apabila sesebuah lori didapati mempunyai masalah dalam sekatan jalan raya. Bagaimanapun terdapat bayaran bulanan bagi mendapatkan “perlindungan” daripada penguat kuasa.

Bayaran guna akaun orang tengah

Malaysiakini telah menyemak rekod transaksi dan pesanan Whatsapp yang menunjukkan permintaan rasuah dibuat. “Berapa million (juta) masuk bagi tahu tauke? Lepas masuk, tolong Whatapp kita,” menurut satu mesej. Selepas Ah Ching masukkan RM1,000 kepada pegawai itu, satu lagi mesej dihantar: “OK, terima kasih. Jangan lupa delete (padam mesej ini)”.

Ah Ching berkata “salam hangat” itu biasanya akan sampai di penghujung tiap-tiap bulan. Sementara itu, Malaysiakini juga melihat transaksi satu syarikat pada September menunjukkan keseluruhan RM21,300 dibuat terhadap pegawai-pegawai JPJ di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Setiap bayaran dibuat antara RM300 hingga RM6,000. Ah Ching berkata pemindahan wang dibuat menggunakan akaun milik ejen, anggota keluarga atau rakan-rakan pegawai itu bagi menyukarkan ia dikesan. Semakan Malaysiakini mendapati nombor akaun bank dan nama pemiliknya itu adalah sah.

JOM BACA >> Proton lancar X70 2020 buatan Tanjung Malim – Harga bermula dari RM94,800

Ikut peraturan jadi payah

Ketika amalan rasuah itu ‘diinstitusikan’ dalam JPJ, terdapat juga syarikat logistik yang enggan terlibat dan mengikuti peraturan ditetapkan. Ah Siong (bukan nama sebenarnya) yang mempunyai 200 lori misalnya mengikuti peraturan berat maksimum 51 tan. Bagaimanapun dalam sebuah sistem yang korup, golongan seperti ini akan diganggu.

Katanya, pegawai JPJ tetap akan tuduh syarikatnya membawa barang lebih muatan dan mahu ditimbang. Proses timbang boleh dibuat di stesen timbang, tetapi ia akan mengakibatkan kelewatan penghantaran barang. Ah Siong berkata, dalam satu kes, JPJ berkeras mahu menimbang 10 lorinya sehingga menyebabkan barangan lambat sampai, sekali gus dia mengalami kerugian dan hilang kepercayaan rakan niaga.

Jelas Ah Siong, semasa pemeriksaan dan timbang pegawai JPJ akan minta rasuah. Jika seseorang itu membuat bayaran bulanan, ada orang akan datang selesaikan masalah itu, jadi pihaknya terpaksa membuat bayaran bulanan.

Tambahnya, jika dia tidak membuat bayaran bulanan, ada pegawai yang akan menyusahkan hidupnya dengan menuduhnya melanggar peraturan. Selain bayaran bulanan, terdapat juga pegawai JPJ meminta rasuah ketika sekatan jalan raya.

Rasuah dulu, tuntut ‘bayaran balik’ kemudian

Muthu (bukan nama sebenar), sudah memandu lori sayur dan buah-buahan dari Cameron Highlands ke pasar borong Salayang selama 10 tahun. Dia mengaku bahawa amalan merasuah JPJ sudah menjadi perkara biasa dalam industri pengangkutan.

Katanya, ketika hasil dipetik, sayur-sayuran dan buah-buahan harus dihantar ke tempat tujuan segera bagi menjamin kesegarannya. Justeru lori biasanya akan dimuat lebih muatan. Lori-lori inilah, kata Muthu, yang akan menjadi sasaran permintaan rasuah.

Sebagai pekerja, dia mengaku lebih senang “kawtim” untuk menyelesaikan masalah itu. Katanya lagi, pemandu lori selepas itu hanya perlu membuat tuntutan bayaran balik daripada majikan sebagai perbelanjaan syarikat. Jelas Muthu, kadang-kadang ada operasi pada pukul 1 atau 2 petang dan dia tidak membuat panggilan kepada bosnya.

Dia akan membayar secara tunai dan kemudian tuntut kembali wang tersebut dari syarikat. Jika tidak dia perlu ke mahkamah untuk membayar denda RM300 atau hanya perlu memberi rasuah RM50 hingga RM100. Amalan rasuah dalam penguatkuasaan kenderaan komersial sudah menjadi wabak yang menyaksikan mereka sentiasa cuba mencari jalan membuat duit lebih daripada yang mereka sudah dapat.

Muthu berkata, dalam satu insiden, dia pernah diperas dua kali dalam satu perjalanan. Katanya, dia pernah didenda dua kali, kali pertama di Rawang dan kemudiannya sekali lagi di Sungai Buloh, meskipun kedua-dua tempat ini dekat sahaja.

Makan lebih ‘musim raya’

Sementara itu, Ah Ching turut mengeluh dalam isu sama. Katanya, pihaknya sudah membuat bayaran namun pegawai JPJ kata bayaran bulanan itu hanya untuk lebuh raya dan dia terpaksa membayar lagi untuk jalan persekutuan.

Jelasnya, ketika musim perayaan, pegawai JPJ akan ‘makan’ lebih kerana kata mereka kena berbelanja lebih. Jadi sekiranya pada waktu operasi ada ketua mereka, pihaknya terpaksa membayar lebih. Ah Siong juga berkata ada pegawai JPJ mengutip rasuah di kawasan di luar bidang kuasa mereka.

Katanya, mereka ini sangat tersusun. Rasuah ini bukan hanya untuk seorang tetapi dikongsi dengan semua orang dalam kumpulannya. Dia turut mendedahkan betapa liciknya pemeras-pemeras itu berdepan pemantauan. Jelas Ah Siong, apabila Putrajaya menghantar pegawai kanan turun padang, mereka tidak akan meminta rasuah dan keluarkan saman.

Tetapi bila ada operasi daerah, mereka ini berani meminta “duit kopi”. Amalan rasuah itu telah menyebabkan penambahan kos perniagaan. Rasuah pada asasnya ditambah dengan kos menjalankan perniagaan.

‘Tak sanggup buat lagi’

Ah Ching berkata bagi setiap lori mereka harus membuat bayaran suapan antara RM200 hingga RM300 atau 20 hingga 30 peratus dari pendapatan syarikat. Kata Ah Ching, bagi perjalanan pergi balik rasuah akan jadi dua kali ganda. Pihaknya hanya membazirkan masa dan usaha kerana menanggung kerugian. Ini belum dikira lagi bayaran selenggara kenderaan, kos tayar, gaji pemandu lori dan tidak teramasuk wang perlindungan bulanan.

Berdasarkan rekod transaksi yang dilihat Malaysiakini, syarikat Ah Ching membayar rasuah RM235,600 kepada pegawai JPJ pada tahun 2018 – purata RM19,633 sebulan. Untuk sembilan bulan pertama 2019, dia membayar RM116,000 – purata RM16,571 sebulan. Jumlah itu berkurangan selepas amalan itu terhenti seketika pada Mei dan Jun susulan operasi SPRM.

Difahamkan bayaran itu bersamaan hampir 30 peratus perbelanjaan tahunan syarikat Ah Ching. Katanya, dia takut kena rompak jika membawa wang tunai setiap hari. Ini membuatkan mentalnya tertekan dan tidak mahu melakukan perkara ini lagi. Onn, penyelia Ah Ching berkata, amalan rasuah yang berleluasa itu telah merosakkan syarikat mereka.

Kata Onn, pegawai JPJ datang meminta duit setiap hari dan melayan pihaknya seperti “lembu kena perah susu”. Dia turut mempersoalkan berapa banyak lagi nak kena masuk dalam lubang tak ada dasar ini? Enggan ikut rentak pegawai-pegawai korup itu lagi, syarikat Onn akhirnya menyimpan rekod-rekod bayaran untuk diberikan kepada pihak berkuasa.

JOM BACA >> INTIP : ‘Cik City 2020’ kena skodeng di Lebuhraya Persekutuan</a

Tak mudah nak buang pegawai korup

Bagaimanapun, jika SPRM membuat tangkapan besar-besaran sekalipun, untuk membersihkan JPJ bukan perkara yang mudah. Sumber-sumber yang mengetahui berkaitan birokrasi memberitahu Malaysiakini, pegawai-pegawai korup yang diheret ke mahkamah biasanya dipindahkan untuk kerja pejabat. Ini berikutan prosedur pembuangan kerja yang ketat.

Walaupun mereka ditugaskan untuk kerja kurang penting, mereka tetap menjadi sebahagian anggota jabatan dan boleh memberikan kesan negatif dan kemungkinan sabotaj. Sumber-sumber berkata, perjawatan penguat kuasa dan pegawai teknikal JPJ dianggap “perkhidmatan tertutup” yang mereka hanya boleh dipindahkan dalam jabatan itu sahaja dalam sektor awam.

Ini bermakna mereka akan menjadi sebahagian dari JPJ sehingalah dipecat – proses panjang yang turut melibatkan tempoh rayuan. Kata salah satu sumber tersebut, kamu masih perlu berjumpa pegawai dalam unitnya setiap hari walaupun telah dituduh di mahkamah.

Tambahnya, pegawai itu boleh buat khabar angin dalam unit itu atau paling teruk mensabotaj sistem itu. Malaysiakini sudah menghubungi Ketua PengarahJPJ Shaharuddin Khalid dan masih menunggu penjelasannya.

Ancaman hukuman berat

Sementara itu, amalan perniagaan yang buruk turut mendalangi amalan rasuah dalam penguatkuasaan pengangkutan komersial. Perunding keselamatan jalan raya Choy Chye berkata, syarikat logistik cenderung membawa barangan lebih muatan untuk menjimatkan kos.

Beliau yang berpengalaman dalam dalam bidang keselamatan jalan raya selama 35 tahun itu berkata penjimatan itu membolehkan penghantar barangan memberikan diskaun lebih baik kepada pemberi konsain. Bagaimanapun, Foong berkata persekitaran persaingan sengit itu telah menjejaskan keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya.

Katanya sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah syarikat membawa barangan lebih 50 peratus daripada muatan dibenarkan. Justeru, Foong mencadangkan pemandu lori dan syarikat logistik serta pemegang konsain barangan patut dihukum bersama jika berlaku kes lebih muatan.

Jelas Foong, jika pemegang konsain juga didenda, mereka pasti akan nasihatkan syarikat logistik supaya tidak membawa barangan lebih muatan. Malaysiakini difahamkan, dasar dalaman JPJ menetapkan jika muatan berlebihan itu sedikit sahaja, tindakan akan diambil bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mendenda pemandu dan syarikat logistik, sehingga maksimum RM2,000.

Bagaimanapun, jika banyak, Seksyen 57 dan 58 Akta Pengangkutan Awam 2010 akan digunakan. Pesalah boleh dibawa ke mahkamah dan didenda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya. Undang-undang berbeza ini melibatkan budi bicara pegawai JPJ dan boleh disalah guna.

Pegawai-pegawai yang korup ini boleh menggunakan Akta Pengangkutan Awam 2010 untuk kesalahan kecil terhadap syarikat logistik bagi “menjinakkan” mereka mengikuti amalan sedia ada. Akhirnya, kedua-dua pihak – syarikat logistik dan JPJ – sama-sama menghalakan amaran rasuah ini.

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto sekadar hiasan

JOM BACA >> INTIP : Proton X70 2020 (CKD) mula tiba di bilik pameran – Ini apa yang perlu anda tahu
JOM BACA >> Beberapa model Proton alami kekurangan bekalan komponen akibat Coronavirus – Pengeluaran terpaksa dikurangkan
JOM BACA >> KIA Seltos mula dipertontonkan kepada pengedar
JOM BACA >> Projek super moped Modenas dihidupkan kembali?
JOM BACA >> Geely Hao Yue (VX11) bakal jadi SUV ketiga Proton?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply