Pembatalan tempahan kenderaan dijangka meningkat pada Julai jika kerajaan tidak lagi meneruskan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal tamat akhir bulan ini.
Berita Harian melaporkan, penganalisis AmInvestment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly, berkata jangkaan itu berdasarkan situasi di mana pelanggan tidak dapat memanfaatkan insentif yang menyaksikan harga kereta yang lebih rendah.
Katanya, susulan barisan tempahan yang panjang dengan purata tempoh menunggu dua hingga tiga bulan, bakal pembeli yang membuat tempahan sejak dua bulan lalu berkemungkinan besar hanya akan menerima kenderaan selepas tempoh bebas cukai tamat.
Pihaknya menjangkakan peningkatan pembatalan tempahan berlaku pada Julai, namun mereka percaya jumlah jualan industri akan pulih dengan cepat apabila permintaan mengatasi bekalan.
Muhammad Afif berkata, beberapa pengeluar dan pengedar telah memperkenalkan harga termasuk SST untuk tempahan yang lebih baru bagi mengurus jangkaan pelanggan.
Ujarnya, walaupun selepas keluaran harga yang dikemas kini, firma kereta masih melihat kadar pesanan harian yang sihat yang menandakan permintaan yang kukuh untuk kenderaan penumpang baharu berkemungkinan kekal mampan selepas tempoh bebas cukai.
Beliau berkata, AmInvestment Bank menjangkakan pendapatan sektor automotif berkembang 5.0 peratus dan perolehan sebanyak 10 peratus tahun ini, paras yang kembali sebelum pandemik bermula berikutan pemulihan ekonomi yang lebih meluas.
JOM BACA >> SPEKULASI: Perodua Axia 2023 (D74A) mungkin ada empat varian, Toyota Agya bakal ada versi GR!
Katanya, pendapatan sektor automotif pada suku kedua 2022 dijangka menjadi tempoh suku ke suku dan tahun ke tahun lebih kukuh apabila pengeluar kenderaan mempercepatkan penghantaran menuju ke akhir tempoh pengecualian SST.
Pihaknya menyemak unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2022 kepada 590,000 unit daripada 555,000 unit berbanding 600,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dengan pandangan bahawa permintaan kukuh untuk kenderaan penumpang baharu adalah mampan menjangkaui tempoh bebas cukai.
Mereka mengekalkan saranan OVERWEIGHT untuk sektor ini. Jualan industri dijangka pulih tahun ini apabila rantaian bekalan kembali normal dan keyakinan pengguna beransur pulih, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti ekonomi.
Katanya, lanjutan lanjut pengecualian SST akan menjadi risiko peningkatan utama kepada unjuran TIV dan pendapatan mereka.
Sementara itu, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, berkata ada kemungkinan sedikit pembatalan tempahan berlaku jika pengecualian cukai tidak lagi dilanjutkan.
Malah, katanya, wujud juga kemungkinan harga kenderaan akan terus meningkat ekoran peningkatan kos logistik, penghantaran dan isu kekurangan cip komputer yang masih berlaku ketika ini.
Jelasnya, ahli MAA sudah lama beroperasi dan telah melalui banyak perubahan dasar automotif, jadi mereka perlu bersedia untuk berdepan pembatalan tempahan dan kenaikan harga kenderaan.
Buat masa ini, mereka masih menunggu keputusan Kementerian Kewangan (MOF) sama ada pengecualian cukai akan dilanjutkan atau sebaliknya. Pihaknya juga menjangkakan jualan kenderaan akan kembali pulih selepas tiga bulan SST dikembalikan.
JOM BACA >> INTIP: Wajah sebenar Perodua Alza 2022 (D27A) terdedah! Deretan unit pengeluaran tular di media sosial!
Sebelum ini, Aishah mendedahkan, harga kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan. Keadaan akan bertambah buruk jika pengecualian SST yang akan tamat akhir bulan ini, tidak disambung.
Terdapat juga cadangan oleh pakar dan peserta pasaran supaya pengecualian SST dilanjutkan sehingga akhir tahun ini bagi menyokong permintaan di tengah-tengah kekangan bekalan cip semikonduktor yang memberi kesan kepada pengeluaran kenderaan.
Dengan cakap-cakap mengenai sama ada pengecualian SST dilanjutkan atau tidak belum berakhir, wujud pula ramalan bahawa harga kereta dijangka meningkat sehingga tiga peratus jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, kesan sebaliknya berbanding pelaksanaan SST pada 2018.
Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.
Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU. Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.
Pada 31 Mei 2021, kerajaan sekali lagi bersetuju melanjutkan pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2021.
Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, selain meringankan beban rakyat.
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> Info ringkas Perodua Alza (D27A), apa yang sudah diketahui setakat ini
JOM BACA >> INTIP: Saga MC2 jalani penggambaran iklan, petanda pelancaran semakin hampir!
JOM BACA >> RISIK: Perodua Alza (D27A), apa yang kami tahu setakat ini
JOM BACA >> Proton X70 MC1 bakal dilancar Mei ini, 5 pilihan varian
JOM BACA >> Pelancaran Proton X90 (VX11) mungkin ditunda ke tahun depan – TheEdge
KOMEN TERKINI