ARKIB

KATEGORI

Buletin

Toyota GR Yaris mendarat – Harga RM299k, terhad 200 unit sahaja!

Berita Tempatan

Views

UMW Toyota Sdn Bhd (UMWT) membuat kejutan dengan melancarkan empat model secara maya malam ini. Salah satu model yang paling ditunggu-tunggu adalah hothatch Toyota GR Yaris yang hanya didatangkan dengan pakej Performance Pack Edition.

Walaupun pengeluarannya sebanyak 25,000 unit di seluruh dunia, hanya 200 unit sahaja akan dibawa masuk oleh UMWT dan setiap unit didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif Model ini boleh didapati di semua cawangan GR Garage dengan harga yang ditawarkan RM299,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans komprehensif).

Tiga pilihan warna istimewa ditawarkan, iaiitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K berkata, ketibaan jelmaan jentera rali WRC untuk jalan raya ini memperluaskan lagi rangkaian kenderaan Toyota Gazoo Racing (GR) di Malaysia yang merangkumi GR Supra 3.0 liter dan Vios GR-Sport yang turut dilancarkan serentak hari ini.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama berkata, GR Yaris menegaskan komitmen Toyota untuk menjadi yang terunggul di peringkat tertinggi sukan permotoran antarabangsa.

Sebagai memperingati model ini, UMWT turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej bernilai RM5,000.

JOM BACA >> Model-model baharu yang paling dinanti-nantikan tahun 2021

GR Yaris dibina dari gabungan pelantar GA-B terkini (daripada generasi terbaru Yaris hatchback) dan bahagian belakang pula yang diadaptasi daripada pelantar GA-C (digunakan untuk Corolla dan C- HR). Ia merupakan model yang pertama dipasang di fasiliti pengeluaran khas GR di Motomachi, Jepun.

GR Yaris menampilkan reka bentuk luaran yang garang dengan bukaan besar di bampar depan mengikut bentuk radiator dan telah direka untuk prestasi penyejukan maksima. Bukaan udara menegak di kedua sisi kiri dan kanannya pula berfungsi untuk menyejukkan brek. Cerun bumbung yang tirus dengan tiang belakang yang dipasang spoiler GR yang tinggi bertujuan untuk meningkatkan downforce keseluruhan.

Model ini turut dilengkapi dengan rim aloi diperkukuh bersaiz 18-inci dengan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18 yang eksklusif untuk Performance Pack Edition. Selain itu lencana khas GR turut menghiasi bumpar depan, fender depan dan pintu belakang.

Rekaan kabin GR Yaris menampilkan tempat duduk sport dengan balutan kulit hitam dan jahitan merah manakala tempat duduk belakangnya pula dengan kemasan serba hitam. Ia turut dilengkapi dengan stereng tiga jejari GR balutan kulit, injak dengan kemasan aluminium, kombinasi meter analog dan paparan digital TFT 4.2-inci (MID) serta paparan dongak (head-up).

GR Yaris turut dilengkapi dengan unit infohiburnya pula bersaiz 7-inci dengan menyokong Apple CarPlay™ dan Android Auto™, kawalan pendingin udara automatik dwi-zon, cermin pandang belakang anti silau, stereng elektrik berkuasa (EPS), sistem kemasukan pintar, butang penghidup enjin dengan lencana GR, dan tingkap berkuasa dengan fungsi automatik buka/tutup dengan Jam Protection.

JOM BACA >> Kereta dicuri dalam parkir berbayar? Kini anda boleh saman dan tuntut pampasan syarikat pengurusan!

Dari segi penjana tenaga, model ini dikuasakan enjin tiga-silinder 1,618 cc sebaris, DOHC dan intercooler turbocas yang mampu menghasilkan kuasa maksima 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm daya kilas pada 3000-4600 rpm. Enjin ini dipadankan pula dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (Intelligent Manual Transmission).

Model ini terut dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa (GR-Four), serta mempunyai pilihan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Track. Menerusi pakej Performance Pack Edition yang ditawarkan, GR Yaris ini turut dilengkapi dengan limited slip differential (LSD) Torsen®.

Jentera seberat 1,280 kg mempunyai bahagian bumbung yang diperbuat daripada bahan karbon baru yang ditempa serta C-SMC (carbon sheet moulding compound), manakala bonet, pintu depan dan but belakang diperbuat daripada aluminium dan reka bentuk tiga pintunya pula telah berjaya mengurangkan berat sebanyak 24 kg.

Bar anti-oleng depan Performance Edition Pack adalah lebih tebal dan diameter pegas pada suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan model ini. GR Yaris turut dilengkapi cakera brek dua bahagian berliang dengan saiz 356 mm dengan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan, manakala cakera berliang dalam saiz 297 mm dengan angkup GR merah aluminium dua omboh di bahagian belakang.

Dari segi keselamatan, GR Yaris dilengkapi dengan enam-beg udara, ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC) bersama brekanti kunci (ABS), agihan brek elektronik (EBD) dan bantuan brek (BA).

Ciri keselamatan ini diperkasakan lagi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang meliputi sistem pra-perlanggaran (PCS), kawalan jelajah radar dinamik (DRCC), amaran tukar lorong (LDA), bantuan pengesan lorong (LTA) dan lampu tinggi automatik (AHB). Selain itu juga, UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS sebagai pilihan.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Edisi Abang Jamil – Ini 5 rahsia yang buatkan isteri anda rela bermadu dengan ‘Cik Mera’ (Nissan Almera) baharu
JOM BACA >> Tahukah anda ada 3 jalan di Malaysia yang sengaja ditinggikan untuk mudahkan hidupan liar melintas?
JOM BACA >> Adakah ini sarung tempat duduk Proton Iriz R3 Limited Edition?
JOM BACA >> RISIK : Proton bakal guna transmisi 4AT pada model Persona dan Iriz MC2
JOM BACA >> INTIP : Adakah ini SUV kompak baharu Perodua (D55L)?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply