ARKIB

KATEGORI

Info

Model-model baharu yang paling dinanti-nantikan tahun 2021

Info

Views

Sedar tak sedar, tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang tahun 2021. Tahun 2020 yang diwar-warkan menjadi pencetus kemeriahan arena permotoran negara secara tiba-tiba bertukar suram akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Meskipun jumlah jualan tahunan tidak mencapai sasaran awal, namun ia kembali ‘bernafas dan cergas’ sejak kerajaan mengumumkan ‘cuti cukai jualan’ yang akan berakhir 31 Disember ini. Bagi meneruskan momentum jualan, pengeluar kenderaan baik jenama nasional mahupun bukan-nasional dijangka berlumba-lumba untuk memperkenalkan barisan model baharu mereka tahun depan.

Berikut adalah antara model-model baharu yang kami rasa paling dinanti-nantikan oleh peminat permotoran tempatan pada tahun 2021:

Perodua D55L

Ini merupakan model yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia tahun depan. D55L berkongsi pelantar baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bersama saudara kembarnya, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

Model ini akan dikuasakan oleh enjin 1KR-VET 1.0L Turbo yang mampu menghasilkan 97 kuasa kuda dan 140Nm daya kilas. Ia dipadankan dengan transmisi D-CVT yang mempunyai fungsi pecahan nisbah gear.

Menurut perisik prolifik kami Mat Bond, D55L bakal ditawarkan dengan pilihan tiga varian dan kami meramalkan model SUV kompak ini bakal dilancarkan pada suku pertama 2021. Difahamkan fasa pra-pengeluarannya bermula bulan ini dan mungkin kita berpeluang melihat iklan acah pertamanya seawal bulan hadapan.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Edisi Abang Jamil – Ini 5 rahsia yang buatkan isteri anda rela bermadu dengan ‘Cik Mera’ (Nissan Almera) baharu

Perodua Myvi facelift/Myvi GT/Myvi STYLE

Sepatutnya Perodua sudah melancarkan versi facelift model hatchback yang digelar “King” ini dalam tahun 2020 memandangkan ia sudah 3 tahun dalam pasaran. Akan tetapi untuk 2020, Perodua hanya memperkenalkan Myvi 2020 yang dipertingkatkan dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) serta warna luaran baharu, Electric Blue.

Kami menjangkakan tahun 2021 adalah waktu yang paling afdal untuk Perodua melancarkan Myvi facelift dan berkemungkinan ia akan turut disertai dengan beberapa varian tambahan baharu seperti Myvi GT dan Myvi STYLE. Myvi facelift dijangka akan menerima sentuhan penggayaan baharu sama seperti Bezza 2020 bagi mengekalkan popularitinya.

KLIK UNTUK BESARKAN

Proton Persona dan Iriz MC2

Selepas pelancaran X50, Proton dijangka memperkenalkan beberapa lagi model yang dipertingkatkan tahun depan. Ada ura-ura mengatakan yang Proton tidak akan melancarkan model serba baharu dan mungkin memperkenalkan sebuah model SUV tujuh-tempat duduk (Geely Hao Yue @ VX11) pada tahun berikutnya.

Antara model dipertingkatkan oleh Proton tahun depan adalah Persona dan Iriz MC2. Kelibat unit ujian model ini telah mula berkeliaran dan telah beberapa kali dirakam oleh warganet. Apa yang pasti, untuk versi MC2, Proton bakal menggantikan transmisi CVT pada model sedia ada dengan transmisi 4-kelajuan automatik pada model Saga.

Selain itu kedua-dua model akan mengalami perubahan kosmetik dan beberapa penambahbaikan di ruang kabin, antaranya unit infohiburan dengan skrin sentuh jenis terapung, tombol pelaras pendingin hawa jenis digital dan juga kombinasi meter baharu.

KLIK UNTUK BESARKAN

Proton Iriz Active (crossover)

Selain Persona dan Iriz MC2, kelibat unit ujian satu varian ala crossver dari model Iriz MC2 turut berjaya dikesan oleh warganet. Foto intip Iriz MC2 versi crossover itu jelas memperlihatkan ‘para bumbung’ (roof rail) dan ia agak sedikit kembang di bahagian lengkung tayar.

Varian ala crossver yang diinspirasikan dari model prototaip Iriz ACTIVE yang dipamerkan sempena Hari Terbuka “Alami Proton” pada 2014 akhirnya direalisasikan dan akan dilancarkan secara rasmi bersama Persona dan Iriz MC2 tahun depan.

Selain itu ada juga beberapa model edisi khas bakal diperkenalkan oleh Proton, antaranya Persona dan Exora ‘Black Edition‘, Iriz R3 Limited Edition dan X70 Special Edition.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Tahukah anda ada 3 jalan di Malaysia yang sengaja ditinggikan untuk mudahkan hidupan liar melintas?

Honda City Hatchback

Sebenarnya kami mula mengesan kehadiran model pengganti Jazz ini sejak namanya mula didaftarkan di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada bulan Oktober 2019. Model City versi ‘kontot’ itu baharu sahaja dilancarkan di Thailand dan ia ditawarkan dengan tiga pilihan varian, iaitu varian S+, SV dan RS.

Di Thailand ia dikuasakan oleh dikuasakan oleh enjin 1.0 liter (998 cc) tiga-silinder VTEC Turbo yang mampu menjana 122 PS pada 5,500 rpm, dengan daya kilas maksima 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan transmisi CVT dan kami menjangkakan unit ini akan berkongsi enjin dan transmisi yang sama dengan versi sedannya yang dijual di negara ini.

KLIK UNTUK BESARKAN

Toyota Corolla Cross

Kami menjangkakan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) bakal membawa masuk Toyota Corolla Cross ke pasaran Malaysia tahun depan. Model yang dibangunkan dari pelantar TNGA (GA-C) ini ditawarkan dengan pilihan penjana petrol dan hibrid untuk pasaran Thailand.

Untuk pasaran Malaysia model ini akan dipasang secara tempatan (CKD) dan ditawarkan dengan dua pilihan penjana, enjin 1.8-liter petrol yang mampu menghasilkan 140 kuasa kuda dan 175 Nm daya kilas yang digandingkan dengan kotak gear CVT pacuan roda hadapan.

Satu lagi adalah varian hibrid yang menggabungkan enjin 1.8-liter berkuasa 98 kuasa kuda dan 142 daya kilas dengan sebuah motor elektrik yang menghasilkan tambahan 72 kuasa kuda dan 163 Nm daya kilas yang disambungkan pula dengan transmisi CVT elektrik.

Corolla CROSS ditawarkan dalam tujuh pilihan warna, antaranya Metal Stream MetallicRed Mica MetallicAttitude Black MicaCelestite Gray MetallicPlatinum White PearlNebula Blue dan Graphite Metallic. Dari segi keselamatan ia dilengkapi dengan tujuh beg udara sebagai ciri standard, manakala Toyota Safety Sense ditawarkan untuk varian paling tinggi sahaja.

KLIK UNTUK BESARKAN

Nissan Kicks e-Power

Sebelum ini ada desas-desus yang mengatakan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) bakal membawa masuk dua model yang bakal dipasang secara tempatan (CKD). Salah satunya adalah model sedan Almera baharu dan sebuah lagi model adalah SUV kompak Kicks e-Power yang telah dilancarkan di Thailand baru-baru ini.

Kicks e-Power merupakan versi facelift yang mempunyai enjin petrol yang digabungkan bersama sistem e-Power terdiri daripada bateri, generator kuasa, penyongsang dan motor elektrik. Sebenarnya kami berharap ETCM akan membawa masuk dua lagi model iaitu Grand Livina baharu dan SUV kecil, Magnite.

KLIK UNTUK BESARKAN

Volkswagen Golf GTI Mk8

Ini mungkin salah model yang bakal dilancarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) tahun depan. Foto intip Volkswagen Golf GTI Mk8 ‘tanpa pelitup celoreng’ telah berjaya dikesan oleh pemilk akaun Facebook bernama Akmal Azmi di Putrajaya pada awal Oktober lalu.

Apa yang menarik, model ini akan dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang. Model hatchback berprestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menjana sebanyak 245 PS kuasa kuda dengan 370 Nm daya kilas. Enjin ini digandingkan pula dengan kotak gear DSG 7-kelajuan dengan penukar gear elektronik (shift-by-wire).

KLIK UNTUK BESARKAN

Anda rasa sudah bersedia untuk menanti kehadiran model-model ini tahun depan? Nantikan kemunculannya!

JOM BACA >> Adakah ini sarung tempat duduk Proton Iriz R3 Limited Edition?
JOM BACA >> RISIK : Proton bakal guna transmisi 4AT pada model Persona dan Iriz MC2
JOM BACA >> INTIP : Adakah ini SUV kompak baharu Perodua (D55L)?
JOM BACA >> Al-kisah Honda City – Evolusi 5 generasi
JOM BACA >> Ini jumlah modal yang bakal ‘hangus’ kalau nak ubah Yamaha R25 anda jadi versi Power Rangers

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply