ARKIB

KATEGORI

Buletin

Usahasama Geely-Proton pacu vendor tempatan

Rencana

Views

Usahasama antara Geely dan Proton mula melangkau lebih jauh dan bakal mengubah keseluruhan ekosistem pembuatan automotif di Malaysia. Pembekal adalah unsur utama dalam mana-mana ekosistem pembuatan. Sekiranya komponen atau bahan yang dibekalkan berkualiti rendah, sudah pasti mutu produk akhir tidak akan mencapai apa yang diharapkan.

Syarikat-syarikat automotif perlu menyedari hakikat ini dan memastikan kualiti produk yang sampai di kilang mereka. Antara peningkatan yang dibuat oleh Proton, sejak kemasukan Geely adalah untuk mengukuhkan hubungannya dengan pembekal terutamanya bagi membantu mereka meningkatkan kualiti, mengurangkan kos dan membangunkan produk baharu.

Salah satu inisiatif utama untuk mencapai matlamat ini adalah dengan memadankan setiap pembekal Malaysia dengan pembekal China menerusi usahasama dan perjanjian bantuan teknikal. Setakat ini, ada enam pembekal lama dan lima pembekal baharu sedang menjalankan projek ini.

Delloyd Group (Delloyd) merupakan salah satu pembekal yang terlibat dalam inisiatif ini. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1984, seiring dengan penubuhan Proton dan masih terus bersama dengan pembuat kereta nasional. Delloyd menghasilkan pelbagai jenis plastik, polimer dan komponen elektronik untuk Proton, termasuk cermin pintu, pemegang pintu, pelindung matahari, suis, lampu dan bahagian berfungsi lain seperti tingkap kuasa.

JOM BACA >> INTIP : Proton uji dua varian X50 termasuk versi Sport?

Mereka berbangga menjadi pembekal untuk jenama kereta nasional dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk menjadikan industri automotif menjadi sebuah industri strategik yang berfungsi sebagai pemangkin untuk perindustrian domestik. Delloyd tetap setia bersama Proton di kala senang dan susah. Walaupun jualan semakin berkurangan, syarikat itu tetap bersama dan sentiasa memberi keutamaan kepada Proton.

Kesetiaan mereka terbalas dan terpilih untuk memeterai perjanjian bersama pembekal sedia ada Geely di China. Kedua-dua syarikat ini akan bekerjasama dalam pemindahan pengetahuan dan kepakaran yang bukan sahaja meningkatkan proses pengeluaran dan kualiti, tetapi juga mengembangkan portfolio produk masing-masing. Hasilnya, Delloyd kini mempunyai akses kepada teknologi yang tidak pernah tersedia di Malaysia seperti modul pam bahan api, menjadikan mereka perintis di pasaran tempatan.

Ini menempatkan mereka di hadapan pesaing dalam memasarkan versi produk yang telah dipertingkatkan, sekali gus membantu syarikat meningkatkan kebolehpasarannya di dalam dan di luar sempadan domestik. Sementara itu, rakan kongsi mereka dari China pula telah memperoleh pengetahuan teknikal untuk pembuatan komponen untuk pasaran pemanduan sebelah kanan, membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke pasaran tersebut.

Selain itu, Delloyd juga mendapat manfaat daripada proses kawalan kualiti Geely yang sangat ketat. Dikenali sebagai Kejuruteraan Kualiti Pembekal atau SQE, Geely kerap menghantar pasukan SQE mereka untuk melawat dan memeriksa kualiti output daripada pembekal. Piawaian yang digunakan oleh pasukan Geely SQE turut diiktiraf dan setanding dengan Volvo. Apabila segalanya dipenuhi, pembekal akan dinaik taraf kepada status Pembekal Yang Lulus Geely, seterusnya akan mengurangkan kos ujian kerana terdapat keperluan pengujian yang lebih kecil untuk pembekal yang diluluskan.

JOM BACA >> Mat Bond kata Proton X70 CKD bakal guna transmisi 7-kelajuan dwi-klac (DCT), betul ke?

Satu lagi pembekal tempatan yang mendapat manfaat ialah HICOM Teck See Manufacturing (HICOM Teck See) yang merupakan sebuah pengeluar terkemuka bagi acuan suntikan plastik jitu bagi sektor automotif. Mereka mengeluarkan pelbagai produk termasuk bumper depan dan belakang, modul kokpit dan modul pintu.

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1991 untuk menyokong Proton tetapi kini telah berkembang pesat dengan mencapai ISO 14001 dan AS9100 Rev D untuk industri aeroangkasa. Mereka kini bersedia untuk menghasilkan modul bumper, spoiler, kokpit dan konsol lantai untuk Proton X70 pemasangan tempatan (CKD).

Melalui perkongsian dengan pembekal China, mereka telah belajar untuk mengembangkan modul sloshnya sendiri, sekaligus menjadi syarikat pertama di Malaysia yang mampu berbuat demikian. Melalui lokalisasi komponen tersebut, pengeluar kereta tempatan kini boleh mengurangkan kos pengeluaran kerana tidak perlu membayar kos penghantaran ke luar negera dan cukai import.

Selain peningkatan ketara, HICOM Teck See juga telah melihat perubahan dalam budaya kerja, terutamanya dalam hal kepantasan. Orang-orang China dikenali dengan cara bekerja yang pantas dan perubahan perlu dilakukan dengan cepat tanpa menyebabkan gangguan utama kepada aliran kerja seharian. Kakitangan mereka turut dihantar menjalani latihan bersama rakan kongsi di China bagi memastikan tahap kepantasan mereka setanding.

Dengan penglibatan yang lebih kerap daripada pasukan pembangunan pembekal Proton dan CEO sendiri, HICOM Teck See sangat gembira kerana Proton mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan kualiti produk. Peningkatan yang ketara dapat dilihat pada model facelift baharu Persona, Iriz dan Exora. Sekarang fokus kini tertumpu kepada pelancaran Proton X70 CKD yang bakal dikeluarkan di Tanjung Malim tidak lama lagi.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> INTIP : Unit ujian Proton X50 dan X70 CKD kini di Kuala Terengganu
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 dan X70 CKD menuju ke Terengganu
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 jalani ujian bersama X70 CKD
JOM BACA >> INTIP : Kelibat Proton X50 pemanduan sebelah kanan dikesan lagi, kali ini di jambatan Pulau Pinang
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 pemanduan sebelah kanan mula diuji

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply