Mungkin ramai yang tidak mengenali figura yang bernama Tengku Azizan ini. Namun pada ahli keluarga besar Proton, beliau merupakan ‘otai’ yang paling setia berkhidmat dengan pengeluar kereta nasional itu selama 36 tahun. Ya, 36 tahun, setahun lebih tua dari model pertama Proton, Saga yang menyambut ulang tahun ke-35nya pada 9 Julai yang lalu.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook milik Zulfakar Jamil, selang sehari selepas pelancaran model Saga Anniversary Edition merupakan hari terakhir Tengku Azizan berkhidmat dengan Proton sebelum bersara. Kata Zulfakar atau lebih dikenali dengan panggilan Gaban, Tengku Azizan merupakan jurutera Proton yang pertama dilatih di Pusat Kejuruteraan Mitsubishi di Nagoya, Jepun selama setahun bagi menyiapkan dirinya untuk projek Saga.
Tambahnya lagi, Tengku Azizan juga merupakan insan yang dipertanggungjawabkan untuk meng’homologasi’kan model pertama kereta nasional itu bagi memenuhi keperluan peraturan di United Kingdom (UK). Ketika itulah beliau dilantik sebagai pegawai untuk kerja-kerja ujian dan homologasi di sana.
JOM BACA >> INTIP : Foto Proton Saga Anniversary Edition bocor!
Kerana beliaulah, Saga berjaya dieksport ke pasaran UK dengan jumlah jualan yang agak besar. Zulfakar sempat berseloroh dengan berkata, jika dia dapat bertemu dengan Sir Rowan Atkinson atau Mr Bean, dia akan memberitahu, “Hai Mr Bean, bola golf awak terlekat di corong ekzos Saga (Iswara) disebabkan oleh lelaki ini (Tengku Azizan)”.
Tambah Zulfakar lagi, pada usia 30 tahun, Tengku Azizan telah dihantar ke Jepun dan UK, di tempatkan di kawasan terpencil dalam sebuah ‘banglo’ di kawasan pinggir bandar bersendirian tanpa TV mahupun radio. Tengku Azizan hampir menderita kerana kemurungan (depression) namun bola sepak telah menyelamatkannya.
Menurut Zulfakar, Tengku mencari kelab bola sepak tempatan dan bermain dengan mereka hanya untuk memastikan dirinya sentiasa sibuk dan mengenali ramai kawan melalui sukan tersebut. Pada masa yang sama juga Zulfakar turut menghantar pesanan teks kepada bekas rakan seperjuangannya iaitu, Putera Drift Malaysia, Tengku Djan Ley dan pelumba profesional, Faidzil Alang mengenai hari terakhir Tengku Azizan di Proton.
Untuk pengetahuan semua, Tengku Azizan boleh dikatakan sebagai Master Yoda yang telah melatih beberapa jedi yang hebat sebagai pemandu terlatih di Proton. Senang cerita, beliaulah pakar dalam ‘Pemanduan dan Pengendalian’ di syarikat tersebut. Kata Tengku Djan kepada Zulfakar, Tengku Azizan merupakan satu-satunya ‘pemandu yang terhebat’ di Proton.
JOM BACA >> INTIP : MG HS dikesan di Malaysia, sedang jalani proses VTA
Faidzil Alang pula berkata, banyak jasa beliau di Proton mahupun kepada dirinya sendiri. Tambahnya, dia pernah putus asa untuk berlumba pada tahun 1998, sampai dah ‘habis akal’ bagaimana untuk mempertingkatkan gaya pemanduan. Namun, Tengkulah yang memberinya semangat dan tips yang membantu untuk menaikkan prestasi pemanduannya.
Satu perkara yang Zulfakar masih ingat sehingga kini, Tengku Azizan berkata, tujuannya menyertai Proton kerana mahu menabur budi kepada negara kerana bekerja dengan syarikat tersebut umpama berkhidmat untuk negara dan beliau berbangga untuk berbakti kepada negara ini.
Penulis juga pernah bertemu dengan Tengku Azizan semasa pandu uji media Persona ke Kuantan beberapa tahun lalu, dan beliau memang seorang yang rendah diri dan mudah untuk didekati. Sempat juga, penulis membawa beliau dan ‘geng R&D Proton’ termasuk seorang warga Jepun, Masazumi Ogawa makan tengah hari di restoran nasi kukus terkenal di bandar tersebut.
Dapatlah juga kami bersembang dan berkongsi cerita sambil menjamu selera. Ketawa kami satu meja melihat si ‘Ogawa San’ berpeluh-peluh menahan kepedasan kari nasi kukus itu. Terima kasih atas sumbangan anda Tengku. Andalah ‘permata yang paling berharga’ di Proton.
Selamat bersara. Jasamu tetap akan dikenang!
KLIK UNTUK BESARKAN
Foto kredit Zulfakar Jamil (Tengku Azizan berbaju putih)
JOM BACA >> Perodua lancar Myvi S-Edition di Brunei – Varian 1.3G yang dihiasi kit badan Myvi GT!
JOM BACA >> Proton bakal lancar ‘Saga Edisi Hitam’ pada 9 Julai ini!
JOM BACA >> INTIP : Proton Persona facelift pakai ‘pelitup muka’ ini sedang menguji apa ye?
JOM BACA >> Perodua Ruza – Cucu ‘Rusa’ dijelmakan dalam bentuk digital
JOM BACA >> Kalau inilah rekaan Myvi generasi ke-4, ada yang sanggup ‘pecah tabung’ tak?
KOMEN TERKINI