ARKIB

KATEGORI

Impresi Artis

IMPRESI ARTIS: Gambaran awal ‘Proton e.MAS 7 PHEV’, kembar Geely Galaxy Starship 7

Impresi Artis

Views
Proton eMAS 7 PHEV

Seperti yang pernah kami ceritakan dalam artikel terdahulu, Proton telah membuat permohonan beberapa tanda dagang baharu atas nama e.MAS 3e.MAS 5 dan e.MAS 7 PHEV di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Kesemua permohonan tersebut telah didaftarkan oleh ejen, Amera binti Mohd Yusof/Amera & Associates Advocates bagi pihak Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd di bawah tiga kategori yang berbeza, iaitu:

  • Kelas 12 di bawah kategori kereta, kenderaan elektrik, automobil motor dan lain-lain.
  • Kelas 16 di bawah kategori bahan promosi bercetak, risalah pengiklanan, poster, gambar, beg barangan cenderahati  dan lain-lain.
  • Kelas 35 di bawah kategori pengiklanan, pengurusan perniagaan, pemasaran media sosial dan membekalkan informasi perniagaan menerusi laman sesawang dan lain-lain.

Ini seolah-olah memberi petunjuk awal kepada nama rasmi kepada beberapa model baharu di bawah jenama Proton e.MAS, selepas e.MAS 7 yang bakal dilancarkan pada bulan Disember nanti.

Nama ‘e.MAS 7 PHEV’ telah mencuri tumpuan penulis dan besar kemungkinan ia adalah model kembar kepada Geely Galaxy Starship 7 yang bakal ke pasaran China pada suku keempat (Q4) tahun ini.

SUV plug-in hybrid ini dikuasakan oleh sistem Thor generasi baharu dari Geely dan telah diumumkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) pada bulan September lalu.

Menurut portal CarNewsChina, SUV bersaiz sederhana ini dibina berasaskan pelantar terbaharu dari Geely, iaitu Global Energy Architecture (GEA).

JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua

Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,740 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,685 mm tinggi, manakala jarak rodanya ialah 2,755 mm.

Penampilan luarannya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan Geely Galaxy E5 dan Proton e.MAS 7, terutama sekali lampu siang (DRL) yang berbentuk tirus memanjang dan bersambung, diposisikan pada bahagian atas.

Lampu utamanya pula diletakkan pada bahagian atas bampar hadapan yang menampilkan gaya rekaan yang ringkas dan moden.

Di bahagian belakang, ia menggunakan susun atur corong ekzos tersembunyi dan dilengkapi dengan lampu belakang LED rekaan melintang. Di bawah lampu tersebut pula tertera lambang jenama “Geely”.

Tidak seperti Galaxy E5 dan e.MAS 7, SUV ini yang menggunakan pemegang pintu tersembunyi, Galaxy Starship 7 dilengkapi pemegang pintu jenis konvensional serta bumbung suria panorama.

Sistem plug-in hybridnya pula terdiri daripada enjin 1.5L (BHE15-BFN) dan motor elektrik hadapan, dipadankan dengan pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh sama ada SVOLT atau Sunwoda Electronic.

Rangkaian kuasa ini mempunyai output maksimum sebanyak 110 kuasa kuda. Menurut MIIT, Geely Galaxy Starship 7 dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 19.09 kWj dan 28.94 kWj, dengan jarak pemanduan elektrik tulen sejauh 101 km dan 150 km.

Penggunaan bahan api komprehensif adalah 4.85 liter/100km untuk varian 19.09 kWj dan 4.88 liter/100km untuk varian 28.94 kWj.

Berat kenderaan tanpa muatan pula masing-masing 1,724 kg dan 1,790 kg. Pengecasan pantas juga merupakan ciri standard untuk kedua-dua varian.

Buat masa ini, jarak pemanduan komprehensif belum diumumkan secara rasmi. Ruang kabinnya mengadaptasikan skema warna dwitona, kombinasi coklat dan juga hitam.

JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu

Kokpitnya dilengkapi dengan stereng rata berbilang fungsi jenis dwi jejari, panel instrumen LCD terapung, skrin inforia besar, lampu suasana sekeliling, serta bolong pendingin hawa yang merentasi papan pemuka.

Selain itu, terdapat dua ruang penyimpanan telefon mudah alih dengan pengecasan nirwayar dan dua pemegang cawan pada konsol tengah.

Terdapat juga pembesar suara yang terletak di sebelah kanan atas papan pemuka, serta di hadapan tempat duduk penumpang hadapan.

Selain itu, konsol tengahnya dilengkapi dengan pelbagai butang fizikal dan tombol putar. Pembantu kecerdasan buatan (AI) dan sistem operasi kokpit pintar Flyme Auto juga dijangka terdapat pada model ini.

Berbalik kepada versi kembarnya iaitu e.MAS 7 PHEV, ia adalah versi pemanduan kanan (RHD) Galaxy Starship 7 dengan beberapa penambahbaikan dibuat oleh para jurutera di Proton bagi menyesuaikannya dengan keadaan di negara ini.

Dengan kepakaran manipulasi foto sahabat kami Theottle, kita sudah dapat membayangkan bagaimana reka bentuk awal e.MAS 7 PHEV dengan merujuk kepada model Galaxy Starship 7.

Boleh dikatakan hanya perubahan secara minima dilakukan pada bahagian luaran serta dalaman, sama seperti Galaxy E5 dan e.MAS 7. Kami menjangkakan e.MAS 7 PHEV akan tiba di Malaysia pada suku keempat (Q4) 2025.

Apa pendapat anda mengenai impresi artis terbaharu ini?

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto kredit Theottle

Foto kredit Geely Galaxy Weibo

JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Ini gambaran awal Proton Saga MC3 (P2-14A@AMA01) sedan dan hatchback mengikut imaginasi kami
JOM BACA >> RISIK: Proton sedang bangunkan Saga MC3 – Ada versi sedan dan hatchback, pilihan rangkaian kuasa petrol dan EV, bakal dilancar menjelang akhir 2025?
JOM BACA >> Meskipun sambutan agak sendu, Geely tetap lancar model ‘Proton Exora tak jadi’, Jiaji 2025 di China
JOM BACA >> INTIP: Mitsubishi Xforce dengan Xpander facelift ke tu? Nak ke mana la agaknya ye…

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply