ARKIB

KATEGORI

Buletin

Peugeot 208 generasi baharu – Penanda aras kereta supermini masa depan

Berita Global

Views

Setelah foto-fotonya tertiris baru-baru ini, akhirnya Peugeot 208 generasi baharu tampil secara rasmi menjelang kemunculan sulungnya di pentas Geneva Motor Show bulan depan. Bila melihat foto-foto rasmi dengan resolusi tinggi ini, hanya satu yang kami boleh ungkapkan iaitu “mengujakan”.

Reka bentuknya lebih mantap, padu dan memiliki personalitinya yang tersendiri. Tidak keterlaluan kami katakan, ia bakal menjadi ‘penanda aras’ baharu untuk kereta kategori supermini pada masa depan. Peugeot 208 generasi baharu dibina dari pelantar baharu PSA yang dikenali sebagai Common Modular Platform (CMP) dan berat badannya telah susut sebanyak 30 kg berbanding model sebelumnya.

Selain berjaya menurunkan berat badan, kerangka model ini juga telah berjaya membantunya menjadi lebih senyap, selain mengurangkan tahap gegaran dan kekasaran. Ada beberapa pilihan penjana kuasa ditawarkan pada model genit ini.

Salah satunya adalah enjin petrol 1.2-liter turbo yang mampu menjana 75 kuasa kuda dan ia digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan pilihan enjin diesel 1.5-liter yang mampu menghasilkan 100 kuasa kuda dengan gandingan transmisi manual enam-kelajuan.

Pada masa akan datang, Peugeot bakal memperkenalkan versi enjin petrol yang menjana 100 kuasa kuda dan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau lapan-kelajuan automatik serta satu lagi model berprestasi tinggi yang dijana enjin 130 kuasa kuda dengan transmisi lapan-kelajuan.

JOM BACA >> INTIP: Proton X50 dikesan sekitar Ampang dan Jalan Kuching

Bukan itu sahaja, pengeluar dari Perancis ini telah membangunkan satu versi elektrik sepenuhnya yang dinamakan sebagai e-208. Ia dijana oleh sebuah motor elektrik dan pek bateri 50 kWh yang menghasilkan 136 kuasa kuda dan 260 Nm daya kilas. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 8.1 saat.

Pek bateri tersebut dipasang di bawah lantai dan boleh memacu model elektrik ini sejauh 340 km di bawah kitaran WLTP. Model ini dibekalkan dengan peranti pengecasan pantas 100 kW yang boleh mengecas 80 peratus tenaga bateri dalam masa setengah jam.

Model ini juga sarat dengan dengan teknologi keselamatan antaranya Kawalan Jelajah Adaptif dengan Henti dan Mula, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Parkir Sepenuhnya, Bantuan Brek Kecemasan Automatik, Pemantauan Tumpuan Pemandu, Pengecaman Had Laju, Pemantauan Titik Buta Aktif dan Pengecaman Papan Tanda Trafik.

Seperti biasa, kabin Peugeot 208 generasi baharu dilengkapi dengan sistem infohiburan i-Cockpit, kluster tolok digital, aksen gentian karbon olok-olok, dan stereng kecil sama seperti model 508 yang menjadi identiti rekaan Peugeot sebelum ini.

Syarikat tersebut akan mula menerima tempahan awal model 208 generasi baharu bermula pada hujung bulan Mac sebelum tempahan secara rasmi dibuka pada lewat musim panas tahun ini. Kami amat berharap model ini akan tiba di Malaysia selewat-lewatnya pada tahun hadapan. Tak sabar kami nak memandu uji dan melihat model ini secara dekat. Nantikan!

JOM BACA >> INTIP: Kelibat unit ujian pertama Proton X50 berjaya dikesan

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply