ARKIB

KATEGORI

Sukan Permotoran

Trio Malaysia pamer aksi terbaik dalam cabaran BMW Motorrad International GS Trophy 2020

Sukan Permotoran

Views

Pasangan trio Malaysia, Norizuan Abdullah, Chan Kiang Wei dan Mohd Zulfakar bin Mohd Alghaus, berjaya mengharungi cabaran pertandingan BMW Motorrad International GS Trophy 2020 dengan menduduki tempat ke-18, sekali gus mengatasi beberapa pasukan seperti India, Afrika Utara dan lain-lain. Acara ini menyaksikan 23 pasukan dari 40 buah negara bersaing dalam sebuah pengembaraan sejauh 3,000 kilometer.

Edisi ketujuh pertandingan motosikal berprestij selama lapan hari itu menampilkan pelbagai cabaran yang merangsang adrenalin yang berlangsung di Pulau Utara dan Selatan New Zealand. Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Harald Hoelzl, acara ini merupakan sebuah pertandingan motosikal kembara premium paling berprestij di dunia yang  disertai oleh peserta-peserta dari seluruh pelusuk dunia.

Bagi Owen Riley, Ketua BMW Motorrad Malaysia, BMW Motorrad International GS Trophy 2020 benar-benar mengujakan dan sentimen tersebut turut disiarkan menerusi saluran media sosial BMW Motorrad. Salah seorang ahli Pasukan Malaysia, Norizuan Abdullah berkata ini merupakan pencapaian yang besar buat mereka, meskipun prestasi mereka agak goyah pada peringkat awal, namun mereka telah bekerja keras dan muncul sebagai penunggang yang lebih baik.

JOM BACA >> TuneD perkenal kit badan khas untuk Proton Saga FLX – Harga bermula dari RM 1,980

Berikut adalah rangkuman harian cabaran International GS Trophy 2020:

Hari Pertama – Sinaran matahari dan kejutan

Berlatarbelakangkan landskap kehijauan Rotorua di Pulau Utara New Zealand, acara ini dimulakan dengan peringkat khas yang pertama di liku parkour, melibatkan pelbagai jenis permukaan dari yang berturap hingga ke permukaan jalan berkerikil dan lebih mencabar.

Peringkat khasg kedua dan yang terakhir untuk Hari Pertama merupakan aktiviti slalom pendek yang menyaksikan seorang penunggang ditutup mata sebelum menyusuri liku yang ditetapkan sambil dibantu oleh rakan sepasukan melalui set kepala Sena Bluetooth. Pasukan Malaysia menduduki tempat ke-18.

Hari Kedua – Keriangan di pantai

Hari Kedua menyaksikan 140 penunggang di pesisir pantai Hawkes Bay untuk menguji ketangkasan masing-masing sementara mereka merentasi pesisir pantai yang berbatu itu dengan jentera BMW F 850 GS. Hari tersebut diakhiri dengan lumba pecut di pesisir pantai yang kasar di Herbertville, sebagai tanda penghormatan kepada Burt Monro yang telah diabadikan menerusi filem yang berjudul, The World’s Fastest Indian pada tahun 2005. Pasukan Malaysia berjaya meraih tempat ke-16.

Hari Ketiga – Menuju ke selatan

Hari Ketiga memperlihatkan cabaran yang serius buat para penunggang dalam bentuk slalom ekstensif menerusi liku yang terdiri daripada pasir yang kasar dan halus. Meskipun jentera BMW F 850 GS salah seorang ahli pasukan mereka terjerlus dalam liku berpasir, ia berjaya diatasi dengan mudah oleh Pasukan Malaysia.

Hari tersebut diteruskan dengan ‘Leatt Challenge’ di pesisir pasir hitam White Rock yang menyaksikan para peserta melontarkan sarung tangan mereka ke dalam pendakap leher Leatt yang diletakkan di hadapan mereka, dan diakhiri dengan cabaran peringkat khas. Pasukan Malaysia menduduki tempat ke-17.

Hari Keempat – Tiada rehat

Hari Keempat bermula lebih awal dan para peserta menyusuri bandar Wellington sebelum membuat perhentian di terminal feri di mana cabaran pertama mereka bermula. Setiap pasukan diuji dengan kuiz berkisarkan GS yang telah mencabar pengetahuan mereka tentang salasilah GS yang kaya dengan sejarah.

Setelah para peserta tiba di pesisir Pulau Selatan, semua pasukan telah melengkapkan cabaran navigasi, disusuli dengan cabaran ‘Metzler Tyre’ yang memerlukan para peserta menanggalkan dan memasang semula tayar belakang jentera BMW F 850 GS dalam tempoh 15 minit. Pasukan Malaysia mencatat masa 14 minit 58 saat untuk menduduki tempat ke-19.

JOM BACA >> Theophilus Chin beri gambaran Honda City Hatchback secara digital

Hari Kelima – Lereng gunung berbatu

Para penunggang mengharungi cabaran berjarak 360 kilometer pada Hari Kelima, yang meliputi landasan luar jalan raya sejauh 180 kilometer, dan selebihnya di jalan berturap sepanjang laluan yang dikelilingi oleh pemandangan yang menakjubkan. Cabaran tersebut memerlukan motosikal peserta ditunggang secara perlahan serta keupayaan memori ketika menyusuri sebuah liku laluan yang rumit.

Hari tersebut diakhiri dengan ‘Rab Challenge’ yang menyaksikan semua pasukan perlu berlari merentasi pesisir Pantai Punakaiki ke khemah Rab, menanggalkan kasut mereka, keluarkan beg tidur, masuk ke dalam beg tidur tersebut dan mengancing zipnya, sebelum melakukan keseluruhan prosedur tersebut melalui aturan songsang. Pasukan Malaysia naik dua tangga lagi di tangga ke-17, berkongsi kedudukan dengan Pasukan India.

Hari Keenam – Menyusuri arus sungai

Hari Keenam meliputi jarak tunggangan yang terpanjang bagi pertandingan ini, namun bagi para penunggang amatur BMW GS ini, ia menawarkan kondisi tunggangan yang sempurna. Cabaran pertama merupakan ‘Rent-a-Ride’ – diadakan di laluan jentera kuad berhampiran Greymouth, di mana dua ahli pasukan perlu mengharungi sebuah liku yang teknikal sepanjang permukaan jalan yang mencabar.

Oleh kerana Hari Keenam melibatkan jarak tunggangan yang lebih panjang, para peserta dapat menikmati waktu hari mereka yang berbaki dengan menikmati pemandangan sepanjang perjalanan mereka ke Taman Negara Arthur’s Pass. Pasukan Malaysia meraih tempat ke-19.

Hari Ketujuh – Laluan pergunungan
Hari Ketujuh menawarkan tunggangan yang mengujakan di empat seksyen gunung untuk dilintasi oleh para peserta menerusi pemandangan yang panoramik dari Tasik Tekapo ke Wanaka. Bermula dengan ‘Akrapovic Challenge’, para penunggang dibatasi oleh masa dan perlu menyudahkan ujian sorongan di landasan condong, membuat pembelokan sorong dan tunggangan melingkari laluan yang ditetapkan.

Selepas para penunggang menyusuri Meyer’s Pass dan Thomson Gorge, mereka diberikan cabaran “bump start” untuk menghidupkan jentera BMW F 850 GS dengan menolaknya dalam jarak terpendek, tidak melebihi seksyen sejauh 50 meter. Pasukan Malaysia menduduki tempat ke-19.

Hari Kelapan – Finale

Hari terakhir dari Wanaka ke Queenstown membawa para peserta merentasi laluan Nevis Valley yang popular, ia meliputi beberapa lintasan di laluan berair untuk cabaran pertama yang dinamakan ‘Jerrycan Challenge’. Ia memerlukan kemahiran menunggang dan mengangkat muatan.

Peringkat pertandingan yang terakhir menawarkan para peserta poin berganda, ia melibatkan liku parkour yang kompleks di stesen ski Coronet Peak. Pasukan Malaysia berjaya menamatkan persaingan International GS Trophy di tempat ke-18 keseluruhan dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 208.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> INTIP : Proton terus menguji SUV kompak X50
JOM BACA >> INTIP : Cik ‘City 2020’ terus diuji
JOM BACA >> Gambaran digital Proton Suprima S generasi baharu
JOM BACA >> INTIP : ‘Cik City 2020’ kena skodeng di Lebuhraya Persekutuan</a
JOM BACA >> Proton lancar X70 2020 buatan Tanjung Malim – Harga bermula dari RM94,800

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply