Pertama kali menjejakkan kaki ke Pusat 4S Proton terbesar di Pantai Timur dan yang pertama di Kuantan ini penulis merasa amat kagum. Kenapa, sebab bagaimana pemilik premis ini boleh terfikir untuk mengubah suai kilang elektronik yang telah lama terbengkalai menjadi sebuah bilik pameran dan servis yang sangat gah, ‘hipster’ dan moden.
Walaupun lokasinya agak sedikit tersorok di dalam kawasan perindustrian, namun bagi warga Kuantan ia bukan suatu masalah. Sebut sahaja depan Puspakom Indera Mahkota 3, tahulah ‘rodong koi’ nak cari kat mana. Atau bagi orang luar, boleh cari je lokasinya menerusi aplikasi Waze atau peta Google (ketik sahaja pautan tersebut untuk ke lokasinya).
Melangkah masuk ke Hoi Keen Service Sdn. Bhd., penulis amat teruja sebab tertunai juga hajat untuk melihat kemudahan besar dan lengkap seperti ini di Kuantan. Terima kasih kepada Hoi Keen kerana sanggup melabur jutaan ringgit untuk membangunkannya. Pusat 4S ini merangkumi bilik pameran, servis serta alat ganti tulen dan juga ketuk dan cat di bawah satu bumbung. Tetapi ada satu keistimewaan tempat ini yang mungkin tiada di pusat jualan dan servis lain.
Apa dia yang istimewa sangat tu?
Jawapannya adalah tempat menunggu yang didekorasi seperti sebuah ‘kafe hipster’ di dalam premis ini yang membolehkan pengunjung melepak, bersantai bersama keluarga atau boleh dijadikan ‘port’ TT pemilik atau kelab kereta Proton pada masa akan datang. Sementara menunggu kereta diservis, anda akan dihidangkan dengan secawan minuman panas dan boleh memilih sama ada Cappuccino, coklat atau teh secara percuma yang dibancuh oleh Barista dari kafe Pull A Shot Coffee yang sangat popular di Air Putih, Kuantan.
Namun jika minuman tersebut kena dengan selera dan anda ingin menambah lagi, anda hanya perlu membelinya pada harga yang sangat istimewa. Sambil minum dan menunggu, anda juga boleh mencuba beberapa jenis juadah pencuci mulut seperti kek dan biskut yang dijual di kaunter kafe dan memuat naik foto atau status anda di Instagram atau Facebook menggunakan WiFi secara percuma.
Jika membawa anak kecil, biarkan sahaja mereka bermain di ruangan kanak-kanak di sebelah tempat menunggu yang mempunyai beberapa alat permainan seperti gelongsor, buaian, khemah dan meja untuk membaca. Kawasannya agak luas dan selesa untuk mereka leka bermain buat seketika. Lihat sahaja reaksi anak penulis yang amat gembira bermain, sampai minta kami datang lagi ke sini nanti!
JOM BACA >> INTIP : Proton Iriz MC2 dan Persona facelift merewang di Kuala Lumpur
Pusat 4S ini dilengkapi dengan 24 ruangan servis dan 14 servis pengangkat yang bakal mempercepatkan masa servis dan mengurangkan tempoh menunggu. Untuk servis ekspress, pusat 4S ini telah menyediakan 3 ruangan khas dan Pengarah Pemasaran Hoi Keen Services Sdn Bhd, Susan Leong, memberi jaminan kereta anda akan disiapkan dalam tempoh 50 minit dan jika melebihi tempoh tersebut kos buruh adalah percuma!
Premis ini turut menempatkan ruang pameran dua tingkat yang sangat luas serta boleh mempamerkan hampir 10 buah kereta dalam satu masa. Di tingkat atas juga terletak pusat ketuk dan cat yang bakal memulakan operasinya awal tahun depan. Selain itu, khusus untuk pemilik X70, pusat 4S ini sedang menanti ketibaan mesin khas bernilai RM90,000 yang bakal digunakan untuk menyelenggara SUV kesayangan anda.
Bermula awal tahun depan, pusat ini bakal menyediakan satu lagi perkhidmatan tambahan iaitu penukaran tayar, penjajaran dan imbangan. Jadi anda tidak perlu ke kedai tayar untuk mendapatkan tayar tulen dari pembekal tayar kereta Proton dan tidak dipujuk untuk menukar skru ‘camber’ lagi.
Selain itu premis ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti bilik khas untuk VIP di tingkat atas, ruang penyerahan kereta baharu, surau, tandas, tempat untuk mengecas laptop atau peranti mudah alih serta anda tidak perlu risau untuk parkir kerana ruangan yang disediakan cukup untuk menampung jumlah pengunjung yang agak ramai.
Penulis sempat beramah mesra dengan Susan Leong, semasa berkunjung ke premis ini dan beliau amat mengalu-alukan kedatangan semua pemilik kereta Proton ke sini untuk merasai pengalaman baharu pemilikan kereta Proton yang pertama kali ada di Kuantan. Beliau turut menjemput semua ahli kelab kereta Proton untuk mengadakan aktiviti mereka di sini pada masa akan datang. Anda boleh terus menghubungi beliau di talian 012-9877 998 untuk maklumat lebih lanjut.
Selain itu penulis sedang berbincang dengan Susan untuk mendapatkan diskaun khas untuk caj buruh khusus untuk pembaca laman web ini dan kami akan mengumumkannya jika mendapat persetujuan nanti. Bagi warga Kuantan dan mereka yang berada di sekitarnya, pihak Hoi Keen Services menjemput anda semua ke majlis pelancaran X70 pada 13 Disember nanti. Ada sebuah X70 menanti anda di sana!
Info ringkas mengenai Pusat 4S Proton Hoi Keen Services Sdn Bhd:
Alamat :
Hoi Keen Services Sdn Bhd(4S), Lot 6, Jalan Bandar Indera Mahkota 3/1, 25200, Kuantan, Pahang.
Waktu perniagaan :
Jualan :
Isnin – Sabtu : 8.30 pagi – 7.00 malam
Ahad : 8.30 pagi – 3.00 petang
Cuti Umum : Tutup
Servis :
Isnin – Sabtu : 8.30 pagi – 5.30 petang
Ahad : 8.30 pagi – 12.00 tengah hari
Cuti Umum : Tutup
Nombor telefon Pejabat : 09-5161898 / 012-987 7998
E-mel (Jualan) : [email protected]
E-mel (Servis) : [email protected]/ [email protected]
Ketik pautan untuk lokasi Hoi Keen Services menerusi aplikasi Waze dan peta Google. Jom ramai-ramai ‘like’ laman rasmi Pusat 4S Proton Hoi Keen Service Proton 4S IM Kuantan
JOM BACA >> INTIP : Foto paling jelas Persona facelift
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI