ARKIB

KATEGORI

Rencana

Merekabentuk identiti baharu Proton

Rencana

Views

Sejak usahasama dengan Geely dimeterai pada 2017, studio Proton Design telah menjadi sebahagian daripada rangkaian studio Geely Design di seluruh pelusuk dunia, termasuklah studio reka bentuk di Shanghai, Gothenburg, Barcelona, California dan Coventry.

Proton Design telah ditubuhkan serentak dengan kewujudan pembuat kereta nasional pertama Malaysia pada tahun 1980-an, dan hanya baru-baru ini ia diintegrasikan ke dalam keluarga Geely Design yang lebih besar. Kini Proton Design mempunyai akses kepada sumber yang lebih banyak berbanding sebelum ini, membolehkan mereka mempelajari idea dan konsep reka bentuk global baharu, sementara Geely Design mendapat manfaat daripada pengalaman mereka yang luas di Malaysia dalam bidang tersebut, serta pendedahan kepada bahasa reka bentuk yang lebih segar.

Azlan Othman diberi kepercayaan untuk mengetuai Proton Design dan beliau telah berkhidmat dengan syarikat tersebut sejak 23 tahun yang lalu. Pada beliau, salah satu perkara yang mengujakan semasa ketibaan Geely adalah peluang untuk bekerjasama pada banyak peringkat. Beliau dan pasukannya kini dapat berkongsi idea dan visi baru dengan rakan-rakan sekerja mereka dari seluruh dunia, mempelajari budaya baharu, dan menyesuaikan elemen reka bentuk sedia ada dari keluarga Geely yang lebih luas.

Tugasan pertama mereka adalah SUV pertama Proton, X70 yang berasaskan model Geely Bo Yue supaya menepati citarasa tempatan. Ia juga bakal menetapkan hala tuju model masa depan dan mengubah persepsi umum terhadap protokol reka bentuk Proton. Tidak dinafikan model tersebut telah direka bentuk oleh Geely, namun banyak tugas dan usaha telah digemblengkan oleh pasukan Proton Design untuk menjadikan rupa X70 bercirikan tempatan.

JOM BACA >> Gambaran SUV kompak Perodua D55L

Prinsip panduan utama yang diterapkan oleh Azlan semasa fasa mereka bentuk semula model ini adalah untuk membuat perubahan maksimum dengan pelaburan minimum. Mereka mempunyai masa kurang dari setahun untuk mewujudkan identiti reka bentuk baharu, mereka bentuk semula bahagian luaran dan dalaman utama Bo Yue ke dalam X70, menghantar reka bentuk melalui proses kelulusan pelbagai peringkat, tidak termasuk prototaip dan menjalankan beberapa pusingan ujian sebelum mendapat ‘lampu hijau’ untuk dikeluarkan pada Disember 2018.

Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai jenama domestik yang mampu mereka bentuk dan mengeluarkannya secara tempatan. Azlan dan pasukannya melihat peluang untuk mereka bentuk sesuatu yang benar-benar asli berdasarkan latar belakang negara yang kaya dengan budaya, bagi membezakan X70 dengan sepupunya dari Geely. Reka bentuk itu sendiri tidak boleh dikaitkan dengan bangsa, agama mahupun budaya tertentu, tetapi sesuatu yang umum dalam semua itu.

Dengan merujuk semua elemen tersebut, mereka mula mengimbau kembali sejarah lampau negara dan mengkaji pelbagai elemen daripada pelbagai kumpulan etnik yang membentuk asas kepada budaya tempatan. Mereka kemudiannya dapat menghasilkan elemen generik yang boleh diiktiraf sebagai identiti Malaysia.

Setelah mengkaji perkataan, imej, arca dan corak secara mendalam, mereka telah memutuskan untuk menggunakan bentuk senjata tradisional iaitu busur sebagai unsur rekaan wajah hadapan kereta. Azlan berkata, busur dipilih kerana senjata tersebut mewakili unsur tenaga. Akhirnya elemen tersebut telah diberi nama Ethereal Bow dan turut diterapkan kepada model-model facelift yang dilancarkan tahun ini, sekaligus mencipta asas kepada identiti reka bentuk baharu Proton.

JOM BACA >> Illustrasi digital gambaran Perodua Bezza facelift 2020

Satu lagi ciri tempatan yang penting dalam identiti reka bentuk terbaru Proton adalah Infinite Weave, yang berasal dari bentuk seni kraftangan rakyat Malaysia yang unggul. Menurut Azlan, inspirasi ini datang dengan melihat pada reka corak dari zaman dahulu, yang akan dimodenkan untuk masa depan. Untuk ini, mereka telah mengkaji seni bina lama dan pelbagai seni cetakan seperti batik.

Dengan menerapkannya kepada reka bentuk kenderaan, Proton memberikan perincian lebih teliti yang tidak pernah ‘digarap’ pada mana-mana model keluarannya sebelum ini. Azlan menambah, reka bentuk dan aplikasi Ethereal Bow dan Infinite Weave akan sentiasa berevolusi mengikut peredaran masa, namun ia sentiasa akan wujud dan sebahagian besarnya bergantung kepada keseluruhan saiz, bentuk dan identiti kereta itu sendiri.

Sebagai contoh, bentuk Ethereal Bow pada model Proton Iriz baharu menggunakan rupa yang berbeza dengan Proton X70 dan model facelift lain. Ini menunjukkan sinergi dengan apa yang Geely lakukan pada Expanding Cosmos, yang boleh dilihat pada rupa inovatif pada model Geometry A dan model-model terkini Geely Auto, seperti Bin Yue dan Xing Yue.

Satu lagi perubahan yang dibuat pada model baharu Proton boleh dilihat di bahagian belakang kereta. Sejak 30 tahun yang lalu, Proton sentiasa meletakkan logo mereka di belakang. X70 merevolusikan konsep itu dengan memaparkan nama Proton, dan trend baharu ini telah diadaptasikan dengan pantas oleh model-model facelift lain yang bakal menyusul.

Azlan menjelaskan, ia merupakan pengaruh dari jenama Volvo, yang telah mempamerkan nama mereka di belakang. Dengan mempunyai persamaan dengan salah satu jenama terkemuka dan kereta paling selamat di dunia, ia bakal memberi tempias imej positif kepada Proton. Dan sebagai pereka, Azlan berkata mereka harus berbangga untuk memperkenalkan nama jenama tersebut bagi mengembalikan semula kegemilangannya.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Tokyo Motor Show 2019 : SUV kompak baharu Daihatsu diperkenalkan – Bayangan awal Perodua D55L?
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 dikesan sekitar bandar Gua Musang
JOM BACA >> Honda City 1.0 liter turbo bakal dilancarkan di Thailand November ini
JOM BACA >> INTIP : Proton uji dua varian X50 termasuk versi Sport?
JOM BACA >> Mat Bond kata Proton X70 CKD bakal guna transmisi 7-kelajuan dwi-klac (DCT), betul ke?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply