ARKIB

KATEGORI

Ulasan Pandu Uji

PANDU UJI: Ford Ranger baharu – Memuaskan

Views

Jika dihidangkan di depan mata sebuah SUV dan sebuah trak pikap, pilihan saya sudah tentu SUV tetapi arah mata saya tetap akan melihat trak pikap kerana terbayang akan kelasakannya. Itulah tarikan sebuah trak pikap yang rata-rata digunakan sebagai kenderaan kerja lasak yang sangat praktikal.

Mungkin kita pernah melihat ianya digunakan untuk mengangkat motor dan basikal MTB. Keseronokan merendah lumpur dan sungai untuk pergi berkelah di dalam hutan. Memang menyeronokkan, tetapi bila difikir balik tentang saiz dan tak selesanya membawa trak pikap dalam bandar, lebih baik guna SUV je. Ini hanya pandangan penulis sahaja.

Ford Ranger telah lama berada di pasaran tempatan. Dari model pertamanya yang cukup keras pemanduannya sehingga model terbarunya (dilancarkan beberapa hari lepas) yang dipertingkatkan dengan ciri-ciri terkini bagi menjadikan model Ford Ranger, trak pikap pilihan di Malaysia.

Sembilan varian model terbaru Ford Ranger ditawarkan untuk pasaran tempatan dan pilihan tiga rangkaian kuasa diesel untuk lebih versatil dan memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza. Enjin-enjin ini termasuklah 2.0L Single-Turbo dan 2.0L Bi-Turbo, selain enjin Duratorq 2.2L. Terbaharu adalah enjin Ranger 2.0L Bi-Turbo generasi baharu dengan transmisi automatik 10-kelajuan yang menawarkan kuasa mencecah 213PS dan 500Nm tork.

Di samping itu terdapat juga ciri-ciri keselamatan seperti Brek Kecemasan Berautonomi, Amaran dan Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif, serta Amaran Perlanggaran Hadapan dan Parkir Automatik Separa-Automatik. Penulis berpeluang untuk memandu uji Ford Ranger XLT+ dan Wildtrak pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Ford Ranger XLT+ 2.0 single Turbo menjana kuasa 180PS dan 420 Nm dan dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan. Ruang dalamannya ternyata nampak luas dan selesa dengan papan pemuka yang dilengkapi paparan skrin sentuh 8-inci, Bluetooth dan sistem navigasi. Sistem pendingin hawanya juga mempunyai kawalan dwi-kawalan suhu bagi pemandu dan penumpang. Model XLT+ turut dilengkapi ciri butang tekan mula dan kemasukan tanpa kunci.

Prestasi eniin 2.0L diesel turbo ini tidak menghampakan. Ianya mampu menjana kuasa yang padu untuk memecut di jalan raya. Apa yang menarik perhatian penulis ialah transmisi 10-kelajuan Ranger. Berbanding dengan transmisi 5-kelajuan biasa, transmisi 10 kelajuan ini memberikan daya pecut pada setiap kelajuan enjin. Tidak perlu nak tarik panjang-panjang untuk mencapai kelajuan yang dikehendaki. Pada kedudukkan gear yang ke-10, enjin cukup senyap dan tiada tekanan.

JOM BACA >> INTIP: Proton Iriz MC2 ‘ronda-ronda’ KL lagi, wajah hadapan kini lebih jelas kelihatan

Sepanjang perjalanan ke Kuantan penulis mengekalkan kelajuan 140km/j dan putaran enjin tidak sampai 2000 rpm. Cuba bayangkan berapa jauh satu tangki penuh boleh kita pergi? Kadar bunyi di dalam kabin juga senyap sehingga terlupa kita memandu sebuah trak pikap diesel. Bunyi bising enjin diesel hampir tidak kedengaran sama sekali di dalam kabin. Secara keseluruhannya, tiada apa yang tak kena pada varian XLT+. Ianya sebuah kenderaan yang telah diperhalusi pembuatannya untuk kegunaan semua.

Variant Wildtrak Bi-turbo pula adalah versi premium Ford Ranger. Menggunakan enjin diesel 2.0 yang sama dan ditambah dua unit turbo yang berfungsi untuk membekalkan kuasa pada kilasan yang rendah dan tinggi. Ini menjadikan enjinnya lebih berkuasa dan sporty kerana terasa pacuannya dari bawah hinggalah kelajuan tinggi. Ditambah pula dengan transmisi 10-kelajuan, rasa nak terbang pun ada.

Wildtrak ini di lengkapi dengan ciri keselamatan yang sama dengan varian XLT+ seperti Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran dan Bantuan Kekal Lorong (LDW), Kawalan Jelajah Adaptif (AACC), serta Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) yang fungsinya membantu pemanduan harian baik di dalam bandar mahupun di lebuh raya.

Fungsi AEB dan FCW amat berguna di zaman sekarang kerana ia dapat mengelakkan perlanggaran dari belakang. Ini kerap berlaku kerana pemandu suka bermain telefon pintar semasa memandu. Sama juga dengan LDW kerana kemungkinan kita tertukar lorong semasa memandu kerana leka menatap telefon pintar. Manakala sistem AACC pula ialah fungsi di mana semasa memandu di lebuh raya kita cuma mengawal stereng sahaja.

Kawalan brek dan minyak dikawal sepenuhnya dengan sistem ini. Agak cuak juga semasa memandu pada kelajuan 110km/j dan apabila menghampiri kereta di hadapan ia akan terus memperlahankan kereta dan memecut semua jika tiada kereta di hadapan. Cuma yang kurang sedikit ialah semasa sistem ini membrek dan memecut, ianya agak drastik berbanding jika dibuat secara manual di mana kita boleh mengawal sendiri pedal brek dan memecut semula dengan lebih lancar.

Penulis tidak berpeluang untuk menguji kebolehan off-road Ford Ranger kali ini kerana kesuntukan masa, akan tetapi apa yang dapat dirumuskan untuk kegunaan biasa (penulis merasakan hampir 80 peratus atau lebih penguna Ford Ranger) mengakui kebolehannya serta harga yang ditawarkan juga amatlah berpatutan. Ianya pantas, selesa, menjimatkan dan selamat.

Ranger Wildtrak – dua varian, bermula dari RM134,888.00
Ranger XLT+ – satu varian, bermula dari RM124,888.00
Ranger XLT – dua varian, bermula dari RM109,888.00
Ranger XL – tiga varian, bermula dari RM90,888.00

Artikel ditulis oleh Arish Qutb Ahmad Khan yang mewakili Funtasticko untuk sesi pandu uji media dari Kuala Lumpur ke Kuantan, minggu lepas.

JOM BACA >> INTIP: Geely Boyue pemanduan sebelah kanan dan Proton Iriz MC2 ‘ronda-ronda’ KL

Ranger 'Baby' Raptor + Nubis = sangkut dalam lumpur. Padan muka

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply