Sejak semalam, kami dan juga beberapa rakan media berkampung di Tanjung Malim bagi menyaksikan pra-pelancaran model SUV yang paling dinanti-nantikan pada tahun 2020. Akhirnya terjawab sudah segala teka-teki mengenai nama model ini dan secara rasmi Proton menamakannya sebagai X50.
Maka dengan ini, tempahannya juga akan dibuka mulai esok (16 September 2020) dengan bayaran sebanyak RM500. Kami tahu ramai yang menantikan berita ini kerana sejak dari 31 Ogos lalu Proton telah mula mengacahnya menerusi iklan Hari Medeka dan pada minggu lalu mereka memaparkan pula foto-foto rasminya buat kali pertama.
X50 akan ditawarkan dengan empat pilihan varian yang terdiri dari varian Standard, Executive, Premium dan Flagship. Enam warna boleh dipilih antaranya Snow White, Jet Grey, Armour Silver, Ocean Blue, Passion Red dan Citrus Orange serta kombinasi warna dwitona dengan bumbung hitam (untuk varian Flagship).
X50 dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter TDI yang mampu menghasilkan iaitu 150 PS dengan 226Nm daya kilas untuk varian Standard, Executive, Premium manakala varian Flagship pula mendapat enjin 1.5 liter T-GDi yang lebih berkuasa dengan 177 PS dengan 255Nm daya kilas.
JOM BACA >> Proton X50 – Perincian ringkas mengikut varian
Enjin ini digandingkan pula dengan transmisi 7-kelajuan DwiCekam (DCT) dengan mod penukaran gear secara manual. Rekaan luarannya hampir seiras dengan abangnya Geely Bin Yue (SX11) dan sepupunya Coolray di Filipina.
Yang berbeza hanyalah rekaan jeriji yang disuntik dengan unsur rekaan Proton seperti busur (Ethereal Bow) dan Infinite Weave. Di bahagian dalamnya juga sama, tetapi kita di Malaysia lebih bertuah kerana mendapat corong pendingin hawa dan 2 slot USB tambahan di bahagian belakang.
Walaupun, pada zahirnya kita cuma melihat perubahan yang minima, tetapi hampir 406 komponen telah mendapat rekaan baharu, terutama sekali yang melibatkan perubahan kedudukan pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan. Apa yang pasti X50 akan mendapat sentuhan talaan Pemanduan dan Pengendalian Proton (Proton Ride and Handling)
Berikut adalah perincian setiap varian:
Varian Standard – (Spesifikasi asas)
- Enjin petrol 1.5 liter TDI
- Transmisi 7-kelajuan DwiCekam (DCT) (klac basah) dengan mod manual
- Rim aloi 17-inci
- Lampu depan jenis LED dan lampu siang LED (DRL)
- Kemasan tempat duduk jenis fabrik
- Unit infohiburan dengan paparan bersaiz 8-inci
- 4 beg udara
- Kamera undur
- Corong pendingin hawa di bahagian belakang
JOM BACA >> Proton tayang imej rasmi pertama X50
Varian Executive – (Tambahan kepada varian Standard)
- 6 beg udara
- Stereng dibalut kemasan kulit
- Tempat duduk kemasan kulit
- Lampu automatik
- Lampu kabus depan
Varian Premium – (Tambahan kepada varian Executive)
- Sistem pemantauan tekanan tayar
- Rim aloi 18-inci
- Power seat untuk bahagian pemandu
- Unit infohiburan dengan paparan bersaiz 10.25 inci
- Kamera 360 darjah
Varian Flagship – (Tambahan kepada varian Premium)
- Enjin petrol 1.5 liter TGDi (output lebih tinggi)
- Sistem bantuan pemandu termaju (Advanced Driver Assistance System – ADAS)
- Warna badan dwitona
- Bumbung suria panorama
Selain itu, varian Premium dan Flagship turut dilengkapi dengan sistem kawalan jauh menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Proton Link, sama seperti X70. Apa yang menarik, varian Flagship menampilkan fungsi pandu sendiri Tahap 2, yang merangkumi ciri kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti & gerak (stop & go), bantuan kekal laluan, brek kecemasan automatik dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri.
Buat masa ini harganya masih lagi rahsia dan ia hanya akan diumumkan semasa hari pelancarannya yang dijangka pada awal bulan depan. Proton juga bakal mengadakan sesi pratonton untuk pelanggan yang akan diadakan secara tertutup di empat lokasi terpilih mulai 19 September. Untuk mengetahui perincian secara ringkas mengenai model ini, sila tonton video siar keliling yang telah kami sediakan.
Video dari ENGEAR
KLIK UNTUK BESARKAN
Foto kredit Engear TV
JOM BACA >> KJ lihat dan uji prototaip MYKAR, EV pertama buatan Malaysia
JOM BACA >> Pra-pelancaran Proton X50 bakal dibuat dalam masa terdekat – Beberapa model ‘edisi khas’ sedang dipersiapkan!
JOM BACA >> Modenas Kriss Concept – Kapcai marhaen berkonsepkan futuristik!
JOM BACA >> Poster iklan acah Proton X50 mula disiar, adakah ia versi rasmi?
JOM BACA >> Dua beradik dari Belanda bina Proton Wira teksi semata-mata untuk ‘layan’ litar Nürburgring
KOMEN TERKINI