Dalam bab membeli kereta, warga Malaysia macam biasalah memang ada selera yang ‘pelik-pelik’, sampaikan ‘pening kepala’ pengeluar nak fikirkan model apa yang terbaik buat mereka. Selain itu warga Malaysia sering merungut harga kereta di negara ini mahal disebabkan duti eksais yang tinggi. Sebenarnya menurut laporan, Kuala Lumpur merupakan bandar raya kelima paling mahal untuk membeli kereta bersaiz sederhana baharu jika nak dibandingkan dengan 54 buah bandar raya lain di seluruh dunia.
Menurut portal kewangan Imoney.my, laporan yang sama juga memaklumkan harga petrol di negara kita adalah yang ke-empat paling murah di dunia. Sungguhpun kos kereta tinggi, pemilikan kereta di negara ini semakin meningkat dan dijangka naik 1.4 kali ganda kepada 31 juta menjelang 2030.
Sekiranya anda berhasrat untuk membeli kereta dalam masa terdekat, adalah lebih baik sekiranya anda membuat sedikit kajian mengenai berapa banyak kos pemilikan yang sebenar. Ia tidak semudah membayar ansuran bulanan, tetapi ia juga melibatkan kos pergerakan kereta anda hari-ke-hari.
Jumlah kos keseluruhan sebenarnya melangkaui harga belian sekiranya anda menganggap perbelanjaan keluar dari poket seperti petrol dan insurans, serta susut nilai kereta dari masa ke masa. Untuk menjelaskan perkara ini secara lebih terperinci, jom kita kira kos sebenar dengan mengambil contoh kos pemilikan sebuah Proton Prevé 1.6 CVT Executive yang berharga RM61, 090.94 selama lima tahun.
1. Pembiayaan
Kita tahu bukan semua yang mampu membeli kereta dengan bayaran tunai dan apa pilihan yang ada hanyalah untuk memohon pinjaman sewa beli daripada institusi kewangan. Seperti biasa, anda perlu membuat bayaran muka sebanyak 10 peratus daripada harga kereta dan bakinya akan dibiayai.
Ini adalah faedah yang anda perlu bayar untuk sepanjang tempoh lima tahun:
Kadar faedah: 3.5 peratus
Tempoh pinjaman: 5 tahun
Ansuran Bulanan: RM1,076.71
Jumlah faedah atas tempoh pinjaman: RM9,621.80
* Pengiraan dibuat berdasarkan kepada kalkulator pinjaman kereta Proton
Dengan tempoh pinjaman sewa beli maksimum pada sembilan tahun, pembeli kereta yang memilih tempoh pinjaman yang lebih lama akan terpaksa mengeluarkan lebih banyak pembiayaan dari masa ke masa.
JOM BACA >> INTIP : Proton uji dua varian X50 termasuk versi Sport?
2. Susut nilai
Susut nilai adalah salah satu daripada kos yang tinggi dalam memiliki sebuah kereta. Ia berkaitan dengan seberapa baik kenderaan menjaga nilainya dari semasa ke semasa. Ini penting terutamanya jika anda menyimpan kereta selama kurang daripada lima tahun kerana kadar susut nilai sentiasa tinggi pada tahun-tahun awal pemilikan.
Sebaik sahaja anda menerima kunci dari peniaga kereta, anda sudah kehilangan ribuan Ringgit, dan fenomena gila ini dikenali sebagai susut nilai. Berikut adalah jumlah susut nilai Proton Prevé berusia 5 tahun:
Pengiraan susut nilai Proton Prevé:
Harga kereta baharu: RM61,090.94
Kadar susut nilai: 51 peratus
Jumlah susut nilai: RM31,156.38
Harga Proton Prevé berusia 5-tahun: RM29,934.56
Beberapa faktor boleh mempercepatkan kadar susut nilai kereta, antaranya perbatuan, jenama, dan sejarah keandalan (reliability), tahap haus dan lusuh, pengubahsuaian dan kepada siapa yang anda jual kereta anda (menjual kereta anda kepada peniaga kereta akan menurunkan lagi harga jual kereta anda) .
3. Penggunaan petrol
Agak mengejutkan, petrol merupakan kos kedua tertinggi dalam pemilikan kenderaan. Jadi pilihlah kereta yang jimat minyak untuk mengurangkan kos ini. Sebagai contoh, Prevé menggunakan 6.6 liter bagi setiap 100 km pada kelajuan 90km/j. Dengan mengambil purata 1,000 km sebulan, ini adalah berapa nilai anggaran bayaran petrol selama lebih lima tahun.
Penggunaan petrol lebih lima tahun
Harga Petrol: RM2.08/liter*
Jumlah perbatuan: 1,000km x 12 bulan x 5 tahun = 60,000km
Jumlah penggunaan petrol: 60,000km ÷ 100km x 6.6 liter = 3,960 liter dengan kos RM8,236.80
*Pengiraan dibuat berdasarkan harga petrol semasa dan akan turun naik mengikut harga petrol.
4. Penyelenggaraan dan pembaikan
Kebanyakan kereta masa kini didatangkan dengan waranti selama 5-tahun, tetapi biasanya ia tidak termasuk dengan kos servis. Berikut adalah jadual penyelenggaraan untuk Proton Prevé:
Jarak dan masa | Kos penyelenggaraan |
10,000km / 6 bulan | RM121.09 |
20,000km / 12 bulan | RM184.76 |
30,000km / 18 bulan | RM191.05 |
40,000km / 24 bulan | RM384.05 |
50,000km / 30 bulan | RM191.05 |
60,000km / 36 bulan | RM730.19 |
70,000km / 42 bulan | RM191.05 |
80,000km / 48 bulan | RM384.05 |
90,000km / 54 bulan | RM255.14 |
100,000km / 60 bulan | RM378.95 |
JUMLAH | RM3011.38 |
Sebahagian daripada rutin penyelenggaraan biasa melibatkan minyak enjin, penapis minyak enjin, gasket plug drain, palam pencucuh, dan penapis udara manakala yang agak jarang melibatkan penapis bahan api, minyak transmisi dan FEAD Belt.
Oleh kerana Proton Prevé datang dengan jaminan selama 5 tahun, anda boleh menyimpan sedikit wang untuk pembaikan, dengan anggapan bahawa jaminan itu meliputi pembaikan yang anda perlukan. Walau bagaimanapun, sebagai jalan selamat, peraturan umum adalah untuk memperuntukkan 1 peratus nilai kereta anda setiap tahun untuk tujuan penyelenggaraan, dan mempunyai dana kecemasan sebanyak 10 peratus daripada nilai kereta anda untuk kos servis yang tidak dijangka.
JOM BACA >> Mat Bond kata Proton X70 CKD bakal guna transmisi 7-kelajuan dwi-klac (DCT), betul ke?
5. Cukai Jalan
Bergantung kepada di mana kereta itu dibeli (Semenanjung atau Malaysia Timur), jenis pemilikan kenderaan (persendirian atau syarikat) dan kapasiti enjin, cukai jalan merupakan kos mandatori yang wajib anda bayar. Untuk Prevé 1.6 liter di Semenanjung Malaysia, cukai jalannya adalah RM90.00 setahun. Jadi untuk lima tahun, jumlahnya adalah RM450.
6. Insurans
Ini merupakan kos tahunan yang wajib dibayar selain cukai jalan. Sudah semestinya ia lebih mahal dari kos cukai jalan dan bergantung kepada nilai kereta anda. Ini adalah contoh anggaran premium insurans motor tahunan untuk model Prevé:
* Pengiraan di atas adalah berdasarkan liputan insurans motor yang komprehensif, tidak termasuk perlindungan cermin atau diskaun tiada tuntutan (NCD).
Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang besrisiko banjir, adalah digalakkan untuk menyimpan wang atau menambah liputan untuk bencana alam dalam polisi insurans motor anda.
7. Pakir dan tol
Belum habis lagi ni, ada satu lagi perkara yang anda perlu masukkan dalam kos pemilikan kereta iaitu pakir dan tol. Sebab itulah rakyat Malaysia ‘hangin’ bila janji manifesto pilihan raya untuk menghapuskan tol tidak ditunaikan.
Jika anda tinggal di bandar, setidak-tidaknya anda perlu keluarkan kira-kira RM200-RM230 sebulan untuk bayar pakir. Ini tidak termasuk kadar pakir berbeza yang perlu dibayar semasa menghadiri mensyuarat atau membeli-belah. Ada satu lagi kos adalah tol, boleh dikatakan semua lebuh raya utama di Lembah Klang ada plaza tol.
Paling tidak RM80 perlu dileburkan hanya untuk membayar tol untuk ulang-alik ke tempat kerja sahaja. Dalam tempoh lima tahun anda perlu mengeluarkan RM13,800 untuk pakir dan RM4,800 untuk tol sahaja! Kat situ sahaja RM18,600 telah keluar dari poket anda yang dah sedia rabak dengan kos-kos sebelum ini. Kalau di tempat kerja anda ada menyediakan pakir percuma, bersyukurlah!
KESIMPULAN: Jadi berapa yang perlu anda bayar selama lima tahun untuk memiliki sebuah Proton Prevé?
Ini bermakna anda perlu membayar RM78,771.36 untuk memiliki sebuah kereta buatan tempatan untuk tempoh lima tahun! Nampak macam mudah untuk menjadi pemilik kereta di Malaysia kan? Tapi hakikatnya inilah yang perlu anda bayar untuk memiliki sebuah kereta.
Tepuk poket tengok banyak mana duit. Jangan ikut falsafah gila “biar papa asal bergaya”, pakai kereta import tetapi sanggup ‘cucuk buntut’ kereta lain sebab tak nak bayar tol. Lebih teruk kalau terpaksa “ikat perut” makan mee segera setiap bulan sampai dapat sakit kronik. Nauzubillahiminzalik.
Renung-renungkan.
Sumber : Imoney.my
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> INTIP : Unit ujian Proton X50 dan X70 CKD kini di Kuala Terengganu
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 dan X70 CKD menuju ke Terengganu
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 jalani ujian bersama X70 CKD
JOM BACA >> INTIP : Kelibat Proton X50 pemanduan sebelah kanan dikesan lagi, kali ini di jambatan Pulau Pinang
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 pemanduan sebelah kanan mula diuji
KOMEN TERKINI