ARKIB

KATEGORI

Buletin

Automotive Hi-Tech Valley bakal rancakkan industri automotif negara

Berita Tempatan

Views

DRB-HICOM Bhd secara rasminya melancarkan pelan pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim, Perak yang dijangka akan merancakkan industri automotif negara.

Menurut Berita Harian, ia menandakan permulaan penting bagi projek mega berimpak tinggi dengan menekankan kepada sistem dan teknologi baharu dalam industri automotif global, iaitu elektrifikasi, kecerdasan buatan (AI), teknologi autonomi dan ketersambungan termaju, AHTV dijangka menjadi hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong,

Turut hadir, Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Pada pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, dengan kewujudan AHTV itu, Malaysia antara lain boleh menjadi hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

Katanya, pembangunan itu juga dilihat dapat menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

“Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.

JOM BACA >> RISIK: Perodua Alza (D27A), apa yang kami tahu setakat ini

“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana 370,000 peluang pekerjaan sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang 2030.

Beliau berkata, pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri itu.

Secara tidak langsung, pembangunan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan AI dan teknologi mutakhir.

“Usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik ini adalah selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap projek pembangunan itu akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.

Beliau berkata, dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.

“Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik,” katanya.

JOM BACA >> Proton X70 MC1 bakal dilancar Mei ini, 5 pilihan varian

Perdana Menteri juga yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini.

Bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, beliau mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga terletak dalam wilayah High-tech Valley, membangunkan pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART).

Katanya, dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV dapat dilestarikan secara produktif,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan AHTV membabitkan DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak bagi mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekltar kawasan itu bagi pembangunan AHTV.

Kawasan di sekeliling kilang Proton Tanjung Malim kini berkeluasan 1,600 hektar yang kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan ldris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman.

Tanah tambahan itu khas untuk pembangunan AHTV, termasuk universiti penyelidikan. DRB-HICOM turut menandatangani satu lagi MOU bersama Geely Holding Group.

MOU dengan pemegang saham Proton, yang ditandatangani secara dalam talian pada 11 April 2022, adalah untuk membangunkan AHTV secara bersama dan bekerjasama dalam mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab itu.

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto kredit Wee Ka Siong

JOM BACA >> Pelancaran Proton X90 (VX11) mungkin ditunda ke tahun depan – TheEdge
JOM BACA >> SPEKULASI: Perodua bakal bangunkan pesaing kepada Proton X50?
JOM BACA >> Foto Yamaha 135LC Fi bocor, empat pilihan warna termasuk versi Edisi Khas (SE)!
JOM BACA >> Perodua mungkin kekalkan nama Alza untuk D27A?
JOM BACA >> Foto Geely Bin Yue S facelift versi pengeluaran tertiris – Kembar Proton X50 dengan gaya rekaan “Energy Storm”

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply