Memandangkan isu berkenaan “kereta terbang” masih lagi hangat diperdebatkan oleh warganet, kami nak kongsikan satu coretan khas dari Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi laman sesawang rasminya.
Beliau merupakan seorang tokoh politik yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom yang memiliki kepakaran dalam bidang analisis kejuruteraan aeroangkasa dan kejuruteraan penerbangan. Jom kita baca coretan beliau!
Kereta Terbang – Mitos atau realiti?
Saya ditanya oleh rakan-rakan, apakah benar model skala kecil prototaip “kereta terbang” yang dipamerkan di LIMA 2019 adalah sesuatu yang benar atau hanya khayalan semata-mata ? Jawapannya saya, untuk berlaku adil, saya hanya menjawab dengan membuat analisa kejuruteraan semata-mata terhadap contoh model prototaip (berdasarkan model skala yang di tularkan). Tiada maklumat lain.
Sekiranya saya menjawab di hadapan pelajar kejuruteraan saya maka prinsip seperti Prinsip Bernoulli, Hukum Newton, Aerodinamik, Aerothermodinamik, Mekanik Bendalir, dan segala prinsip fizik akan terpaksa dijelaskan.
Saya akan meminta pelajar saya untuk mengkaji aspek sistem kuasa, saiz dan reka bentuk rotor, reka bentuk kenderaan dan integriti struktur, bahan, analisis hingar dan gegaran, pergerakan, sistem kawalan, muatan, nisbah kuasa ke berat, pensijilan dan kelayakan, kestabilan dinamik dan sebagainya. Saya akan meminta pelajar saya membuktikan menerusi Pengiraan Dinamik Bendalir (CFD).
Tentunya dalam tulisan ini saya tidak akan buat begitu. Bagi tujuan awam, saya memilih untuk menggabungkan jawapan ringkas saya ini berasaskan latarbelakang saya sebagai saintis, jurutera, penyelidik, dan juga sebagai ahli politik; maka saya akan cuba memberikan pandangan saya dalam bahasa yang paling mudah dan senang difahami.
JOM BACA >> Terengganu batal pembelian bas dua alam – RM2.7 juta telah dibayar
Pertama, premis bahawa ianya dilabelkan sebagai “kereta terbang”adalah provokatif dan sensasi. Sains dan teknologi seharusnya bukan sensasi, bukan gimik, tetapi perlu berasaskan fakta tepat. Tidak dinafikan juga mungkin sedikit kesilapan melabelnya, akan membuka ruang penafsiran yang salah.
Maka amat penting untuk pihak yang memperkenalkan cadangan prototaip “kereta terbang” itu dan kementerian untuk cepat membetulkan nama panggilannya supaya tidak menjadi momokan. Itulah cabaran dunia baharu.
Sebenarnya tidak mengurangkan apa-apa pun sekiranya dengan pantas pihak Menteri atau Timbalan Menteri membetulkan nama “kereta terbang” itu pada hari pertama, dengan menggelarnya dengan nama yang lebih sesuai seperti “vertical take-off transporter”, “dron automobil”, “drone teksi”, “auto hover” atau istilah lain.
Nama yang tepat akan bergantung pada prinsip bagaimana kenderaaan berkenaan akan mula berada di udara, samada menerusi berlepas dan mendarat secara menegak (vertical take-off) seperti dron yang ada di pasaran ketika ini atau berlepas (take-off) biasa seperti pesawat ringan yang mempunyai sayap yang boleh dilipat (retractable wings).
Kedua, mungkin ada yang mula bertanya. Adakah boleh wujud kenderaan sedemikian ?. Ya, pada prinsipnya ianya tidak berlawanan dengan kejuruteraan, dan memang sudah ada kenderaan yang mampu berada di ketinggian tertentu seperti dron yang mampu menjadikan manusia sebagai bebannya.
Maka soalan berikutnya, adakah yang dipamerkan di LIMA 2019 itu adalah suatu yang mungkin boleh terbang?
Sekiranya reka bentuk dan pembinaannya adalah menepati reka bentuk kejuruteraan dan segala prinsipnya, maka ianya boleh berada di udara. Saya percaya, tentunya syarikat berkenaan mempunyai pakar teknikal yang berkebolehan, tetapi dengan melihat rekabentuk berkenaan perjalanan masih jauh.
Pada hemat saya, sekiranya itulah cadangan rekabentuknya, maka ianya memerlukan cubaan yang lebih serius bagi memastikannya mampu berada di udara. Sekiranya ia merupakan projek pelajar saya, saya akan memberi komen awal terhadap reka bentuk pelik penutup berjaring di atas kipas, yang pada hemat saya akan mengurangkan daya dan kuasa tujahan (thrust force and power) yang akan membolehkan kenderaan itu berada pada satu ketinggian tertentu di udara.
JOM BACA >> INTIP : Proton Saga facelift sedang diuji
Faktor kritikal ialah mempunyai daya dan kuasa tujahan dan angkat yang mempu mengatasi berat kenderaan bersama bebanannya. Penutup berjaring berkenaan akan hanya membolehkan angin yang keluar di bawah dalam keadaan seragam (uniform flows) tetapi tujahannya berkurangan (reduced thrust). Ini akan menyukarkan lagi bagi mencapai daya tujahan bagi mengangkat kenderaan berkenaan.
Ketiga, di zaman media baharu ini, kerap kali inisiatif kerajaan kadang kala juga berdepan dengan kritikan dari rakyat awam, dan pimpinan masyarakat lainnya yang tentunya mempunyai berbagai pandangan dan latar belakang.
Menteri atau Timbalan Menteri yang mengeluarkan kenyataan menyokong kenderaan berkenaan, haruslah mengambil maklum bahawa kita sebagai pimpinan masyarakat hendaklah cuba (saya katakan cuba kerana – saya juga – tidak mudah untuk mengawal perasaan kita sendiri) untuk tidak bertindak balas dengan sindiran orang ramai, iaitu tidak membalas kutukan dengan kutukan balas.
Ambil maklum dan jelaskan dengan hati yang terbuka. Apa salahnya kita menggunakan ayat seperti : “saya memahami kritikan berkenaan, kami akan ambil maklum dan atasi apa jua masalah rekabentuknya”, “kami akan berikan penjelasan di satu masa nanti’, “penjelasan teknikalnya adalah seperti berikut…”, “ïtu adalah contoh sahaja, reka bentuk akhir tentunya berbeza, sesuai dengan objektif kenderaan berkenaan” dan sebagainya.
Jack Welch, mantan Ketua Pegawai Eeksekutif General Electric, menyebut : “Orang ramai mesti yakin dengan anda, anda pula harus membina keyakinan orang ramai”. Menarik bukan, objektif nampak mudah tetapi mengusahakannya adalah tidak semudah itu!.
Semoga Berjaya! Benediximus!
JOM BACA >> Yaris muncul di laman sesawang rasmi Toyota Malaysia – Bakal dilancar dalam masa terdekat?
JOM BACA >> MESTI BACA : Doktor ini pesan tegah anak berdiri keluar bumbung suria – Ini sebab-sebabnya
JOM BACA >> Kaliper brek kena ‘rembat’ – Lelaki Perancis ini terkandas di Pulau Pinang
JOM BACA >> Wanita Mesir ini ‘jatuh cinta’ pada Proton Exora – Ini sebab-sebabnya
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI