Masih ingat tak lagi anda dengan kes kemalangan sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak di Johor Bahru pada 18 Februari 2017? Selepas lebih dua tahun kes tersebut, Mahkamah Majistret Johor Bharu telah membuat keputusan untuk membebaskan tertuduh, Sam Ke Ting, 24 tahun dari pertuduhan memandu secara melulu.
Menurut laporan dari Harian Metro, Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, seramai 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit dikemukakan di mahkamah. Siti Hajar pada penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira pemandu yang menggunakan jalan serta situasi jalan yang berselekoh dan malam tidak boleh menjangkakan kewujudan basikal lajak.
Katanya, faktor yang mencipta kecederaan bahaya bukan disebabkan cara pemanduan. Ia setelah mengambil kira beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada 3 pagi.
JOM BACA >> Tokyo Motor Show 2019 : SUV kompak baharu Daihatsu diperkenalkan – Bayangan awal Perodua D55L?
Menurutnya, keadaan bahaya itu dicipta oleh kumpulan basikal lajak itu sendiri dan tertuduh tidak memotong kenderaan lain, tidak melawan arus dan tidak berlumba. Tambahnya, isu tertuduh menggunakan lorong kiri atau kanan tidak menjadi masalah dan dia berhak melalui lorong terbabit, selain tidak mencipta situasi bahaya.
Basikal lajak adalah satu gejala sosial membabitkan kanak-kanak bawah umur dan dua hari sebelum kejadian itu juga, operasi lajak sudah dilakukan bagi mengekang aktiviti menunggang basikal ala ‘Superman’ di atas jalan raya.
Tambah Siti Hajar, berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan. Aktiviti basikal lajak sudah umum diketahui di kawasan itu dan terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di kawasan berkenaan.
Hanya penduduk di situ yang tahu akan situasi tersebut dan ia sukar untuk dijangka oleh pengguna yang jarang menggunakan laluan itu. Siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 dikesan sekitar bandar Gua Musang
Beliau kemudian memerintahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan kepada tertuduh, serta merta, manakala wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin. Pada masa sama juga, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak bagi mengelak kejadian itu berulang dan meminta polis bertindak tegas.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan pembelaan diwakili Muhammad Faizal Mokhtar. Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut dalam kejadian tersebut adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> Honda City 1.0 liter turbo bakal dilancarkan di Thailand November ini
JOM BACA >> INTIP : Proton uji dua varian X50 termasuk versi Sport?
JOM BACA >> Mat Bond kata Proton X70 CKD bakal guna transmisi 7-kelajuan dwi-klac (DCT), betul ke?
JOM BACA >> INTIP : Unit ujian Proton X50 dan X70 CKD kini di Kuala Terengganu
JOM BACA >> INTIP : Proton X50 dan X70 CKD menuju ke Terengganu
KOMEN TERKINI