ARKIB

KATEGORI

Info

INFO: Ini antara model-model yang dijangka tiba pada 2025, Proton Saga dan Perodua Myvi generasi baharu bakal curi tumpuan!

Info

Views

Tinggal beberapa hari sahaja lagi tahun 2024 bakal meninggalkan kita. Sepanjang tahun ini, kita disajikan dengan pelbagai model baharu yang dilancarkan oleh pengeluar automotif tempatan, mahupun dari luar negara.

Tahun 2025 dijangka meriah dengan pengenalan beberapa model, sama ada model baharu sepenuhnya atau versi facelift. Berbekalkan dengan info yang ada, berikut antara model-model yang dijangka tiba pada 2025:

Honda Civic facelift

Honda Malaysia dijangka menjadi pengeluar pertama yang melancarkan model baharunya untuk 2025 menerusi model Civic facelift, yang bakal dilancarkan secara rasmi pada Januari nanti. Tempahannya telah pun dibuka dan ia bakal dalam dua pilihan varian RS, iaitu e:HEV RS dan Petrol RS.

Gambaran awal hasil rekaan Theottle

Proton X50 facelift

Proton bakal mempertaruhkan beberapa model untuk 2025 dan salah satu daripadanya adalah versi facelift, X50. Ia menampilkan rekaan depan dan belakang serba baharu yang berasaskan model Geely Binyue Cool.

Bukan sahaja luaran, ruang kabinnya turut menampilkan rekaan papan pemuka serba baharu dengan panel meter digital yang bersambung dengan unit inforia.

Rekaan hasil janaan Kecerdasan Buatan (AI)

Proton Saga MC3 (AMA01)

Ini adalah antara model Proton yang paling dinanti-nantikan pada 2025, iaitu generasi baharu Saga yang menggunakan namakod AMA01.

Dikhabarkan Saga MC3 (AMA01) dibangunkan dari pelantar model semasa yang dipertingkatkan dan mungkin ditawarkan dengan empat pilihan varian, bermula dari varian asas (Standard) hingga mercu (Flagship).

Menurut sumber, Saga MC3 (P2-14A@AMA01) mungkin akan ditawarkan enjin berkapasiti 1.5 liter aspirasi alami (NA) yang dipadankan dengan transmisi CVT (penukar daya kilas – torque converter).

Saga MC3 menampilkan reka bentuk luaran (top hat) serta dalaman serba baharu, dan dijangka bakal menerapkan elemen gaya rekaan terkini Proton seperti jeriji berbentuk busur (Ethereal Bow) dan Infinite Weave dengan kemasan berbentuk butiran motif songket.

Gambaran awal hasil rekaan Theottle

Proton e.MAS 5

Model  kenderaan elektrik (EV) kedua Proton, e.MAS 5 juga antara model yang dijangka membuat kemunculan pada 2025. Hatchback elektrik berasaskan Geely Geome Xingyuan telah mula menembusi pasaran China akhir bulan September lalu.

Proton juga telah mendaftarkan tanda dagang baharu atas nama e.MAS 5 di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Selain e.MAS 5, dua lagi nama iaitu e.MAS 3, dan e.MAS 7 PHEV turut didaftarkan di MyIPO menerusi tiga kategori yang berbeza.

JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua

Gambaran awal hasil rekaan Theottle

Perodua D66B

Selain Proton, satu lagi wakil tempatan iaitu Perodua dijangka melancarkan beberapa model baharu pada 2025. Salah satunya adalah model SUV segmen-B, dengan namakod D66B yang sepatutnya dijadualkan tahun ini.

Pengenalan model kembar kepada Toyota Yaris Cross itu terpaksa ditangguhkan selama setahun bagi menyelesaikan isu skandal “ketidakaturan prosedur” yang dialami oleh Daihatsu Motor.

Pesaing terkuat Proton X50 itu nanti bakal ditawarkan dengan tiga pilihan varian yang bermula dari varian X, SE dan AV (mercu). Akan tetapi, varian AV dikhaskan untuk versi hibrid sahaja, namun ia akan tiba sedikit lewat.

Perodua telah pun mendaftarkan tanda dagang bagi nama Nexis dan Traz di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sejak 29 April 2022 dan salah satunya berkemungkinan akan menjadi nama rasmi model ini nanti.

Pra-pengeluarannya difahamkan telah disambung semula pada akhir tahun ini dan ia dijangka dilancarkan pada suku pertama (Q1) tahun 2025.

Rekaan hasil janaan Kecerdasan Buatan (AI)

Perodua Myvi generasi keempat (namakod D01D)

Model Perodua yang paling dinanti-nantikan pada 2025, tidak lain tidak bukan adalah generasi keempat Myvi yang buat masa ini dikenali dengan namakod D01D.

“King” generasi baharu itu nanti dibangunkan dari pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut dikongsi bersama model SUV segmen-B, iaitu D66B.

Menurut info awal dari ejen perisik kami Mat Bond, ia bakal ditawarkan dengan tiga pilihan rangkaian kuasa, iaitu enjin 1.3 liter aspirasi alami (NA), 1.5 liter (NA) dan 1.5 liter hibrid.

Pilihan enjin pada model semasa iatu, 1.3 1NR-VE dan 1.5 2NR-VE mungkin masih ditawarkan, manakala versi hibrid pula akan berkongsi rangkaian kuasa Hybrid Electric Vehicle (HEV) baharu bersama Toyota Yaris Cross, iaitu 1.5 2NR-VEX yang digandingkan dengan motor elektrik.

Myvi generasi keempat ini juga dikatakan bakal mempunyai ‘dua saudara kembar’, iaitu Toyota Yaris (hanya versi GR sahaja) dan juga versi ‘tukar lencana’, Daihatsu Sirion. Model hatchback segmen-B ini bakal diperkenalkan pada hujung tahun 2025.

Gambaran awal hasil rekaan Theottle

Kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua

Tahun 2025 bakal menjadi ‘tahun yang paling sibuk’ buat Perodua. Selain dua model yang dinyatakan di atas, model EV sulungnya juga dijadualkan pada 2025.

Evolusi prototaip kenderaan elektrik bateri (BEV) sulungnya yang dikenali sebagai eMO-II (disebut sebagai M-O-2) telah pun dipertontokan semasa Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, baru-baru ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, versi pengeluarannya dijangka berharga antara RM50,000 hingga RM90,000, dan tidak mebihi RM90,000.

Ia dibangunkan berasaskan casis baharu dengan jarak perbatuan sekitar 400 hingga 410 kilometer (km), manakala pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6 hingga 7 saat.

Model EV ini bakal menggunakan pek bateri jenis lithium ion fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL).

EV ini bakal dihasilkan di fasiliti pengeluaran baharu yang dikhususkan untuk kenderaan elektrik, manakala jumlah pengeluarannya pula dijangka mencecah 500 unit sebulan.

Bukan itu sahaja, Perodua telah pun mendaftarkan tiga nama baharu iaitu QvePacer dan Ace di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang salah satunya bakal menjadi nama rasmi EV tersebut nanti.

Toyota Yaris Cross dan Yaris hatchback generasi baharu

Antara model yang bakal diperkenalkan oleh Toyota Malaysia pada 2025 adalah model Yaris Cross dan Yaris hatchback generasi baharu.

Seperti yang dinyatakan di atas, kedua-dua model tersebut mempunyai saudara kembar dari Perodua, iaitu D66B dan Myvi D01D.

Difahamkan Yaris hatchback generasi baharu hanya akan ditawarkan dalam versi GR sahaja manakala Yaris Cross berkemungkinan besar hanya didatangkan dalam versi Hybrid Electric Vehicle (HEV).

GWM TANK 500 dan GWM WEY 80

Great Wall Motor (GWM) Malaysia juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan model terbaharunya pada 2025. Dua model yang bakal dibawa masuk adalah SUV mewah GWM TANK 500 dan MPV premium 7-tempat duduk dengan sistem hibrid plug-in elektrik, GWM WEY 80.

Kedua-duanya telah membuat penampilan eksklusif semasa Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 baru-baru ini.

SUV mewah 7-tempat duduk GWM TANK 500 mempunyai dimensinya berukuran 5,078 mm panjang, 1,934 mm lebar, 1,905 mm tinggi, dengan jarak tapak roda 2,850 mm.

Ia dikuasakan oleh oleh enjin turbo 2.0 liter 4-silinder hibrid yang dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan, ia mampu menghasilkan gabungan kuasa 258 kW dan 648 Nm daya kilas.

Model ini didatangkan dengan 11 mod pemanduan, termasuk ciri-ciri ‘TANK Turn’ dan ‘Off road Cruise Control’ bagi menakluki pelbagai jenis permukaan dengan mudah bersama sudut pendekatan setinggi 36.9°.

GWM WEY 80 pula dijana oleh rangkaian kuasa hibrid plug-in elektrik yang dikuasakan oleh Teknologi Hibrid Terdedikasi (DHT).

Rangkaian kuasa ini mampu menghasilkan output sebanyak 487 PS dan 762 Nm daya kilas, dengan jarak pemanduan hingga 150 km menerusi bateri 37.96 kWj.

MPV ini mempunyai dimensi berukuran 5,045 mm panjang, 1,960 mm lebar, dan 1,900 mm tinggi, dengan jarak tapak roda 3,085 mm.

MPV ini juga didatangkan dengan 16 pembesar suara Harman Kardon dengan sistem audio bertaraf opera dan berkualiti tinggi.

JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu

Jetour Dashing, X70 Plus dan T2 (CKD)

Jetour, jenama di bawah Chery bakal memperkenalkan trio model SUV pemasangan tempatan (CKD), iaitu Dashing, X70 Plus, dan T2.

Dashing (bukan nama talkum untuk lelaki) dan X70 Plus bakal dilancarkan secara rasmi selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025, berkemungkinan pada Februari.

Difahamkan X70 Plus akan menggunakan nama lain memandangkan Proton telah mendaftarkan tanda dagang untuk nama X70. Satu lagi model, iaitu SUV off-road, T2 pula akan tiba sedikit lewat, iaitu pada suku ketiga (Q3) 2025.

Deepal S05 dan S07

Bermaz Auto Bhd bakal membawa masuk dua model SUV, iaitu Deepal S07 dan Deepal S05 ke pasaran Malaysia pada 2025.

Di China, the Deepal S05 dilengkapi dengan motor elektrik 175kW pada roda belakang yang menghasilkan 320Nm daya kilas.

Ia dikuasakan oleh bateri litium besi fosfat dengan kapasiti 56kWj. dan menawarkan jarak pandu sejauh 510km (CLTC).

Deepal S07 pula ditawarkan dengan dua pilihan varian, iaitu varian asas dengan pek bateri Ternary Lithium (NMC) 67kWj yang memberikan jarak pandu sejauh 485km (NEDC) di pasaran Thailand.

Xpeng X9

Bermaz Xpeng dijangka memperkanlkan MPV elektrik, Xpeng X9 ke pasaran Malaysia pada 2025. Baru-baru ini kelibat unit ujian model berkenaan telah mula dikesan di sini.

Di China, varian pacuan roda hadapan (FWD)nya didatangkan dengan bateri litium besi fosfat dengan kapasiti 84.5kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 610 km (CLTC).

Bateri ini menjana motor elektrik 315 kuasa kuda dan 450 Nm daya kilas. Ini membolehkan memecut dari 0-100 km/j dalam tempoh 7.7 saat dengan kelajuan tertinggi mencecah 200 km/j.

Terdapat juga varian FWD dengan motor elektrik yang sama, namun dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 101.5kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 702 km.

Model ini juga ditawarkan dengan varian pacuan semua roda (AWD) dengan bateri NMC yang sama dan dwi motor elektrik.

Ia menjana output 496 kuasa kuda dan 450 Nm daya kilas, membolehkan masa pecutan 0-100 km/j hanya 5.7 saat, jarak pandu 640 km dan kelajuan tertinggi 200 km/j.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Ini gambaran awal Proton Saga MC3 (P2-14A@AMA01) sedan dan hatchback mengikut imaginasi kami
JOM BACA >> RISIK: Proton sedang bangunkan Saga MC3 – Ada versi sedan dan hatchback, pilihan rangkaian kuasa petrol dan EV, bakal dilancar menjelang akhir 2025?
JOM BACA >> Meskipun sambutan agak sendu, Geely tetap lancar model ‘Proton Exora tak jadi’, Jiaji 2025 di China
JOM BACA >> INTIP: Mitsubishi Xforce dengan Xpander facelift ke tu? Nak ke mana la agaknya ye…

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply