ARKIB

KATEGORI

Info

MESTI BACA: 10 model yang paling dinantikan tahun 2020

Info

Views

Memandangkan tinggal beberapa hari sahaja lagi, tahun 2019 bakal melabuhkan tirainya, kami mengambil kesempatan ini untuk menyenaraikan 10 model kereta yang paling dinantikan untuk tahun 2020. 10 model ini dijangka bakal dilancarkanpada tahun depan dan 9 daripadanya merupakan model produksi, dan satu sahaja yang masih dalam bentuk prototaip.

Untuk tidak membuang masa lagi, jom kita tengok 10 model yang paling dinantikan tahun 2020. Kami akan membuat kiraan dari tempat ke-10 hingga yang pertama.

10. Prototaip model pertama Projek Kereta Nasional Baru (NNCP)

Di tangga ke-10 kami memilih satu-satunya model prototaip yang berada dalam senarai. Prototaip model sedan yang akan menggunakan pelantar, enjin dan transmisi dari Daihatsu Motor Co Ltd akan dibangunkan oleh syarikat tempatan DreamEDGE bersama rakan teknikal mereka dari Jepun itu.

Pada awalnya DreamEDGE merancang untuk melancarkan model pengeluaran pertama Projek Kereta Nasional Baru (NNCP) pada bulan Mac 2021, namun menurut laporan analisa yang diterbitkan oleh Affin Hwang Investment Bank, projek tersebut memerlukan dana tambahan dan bakal mengalami kelewatan.

Ia dijangka diperkenalkan pada separuh pertama 2022 dan DreamEDGE turut mengesahkan yang prototaip sebenar akan dilancarkan pada pertengahan tahun depan (2020). Model yang bakal menampilkan teknologi terkini sebagai kenderaan pintar dengan ketersambungan, sistem kenderaan pintar dan sistem bantuan pemandu termaju akan dihasilkan secara pemasangan kontrak.

KLIK UNTUK BESARKAN

9. Nissan Kicks

Tahun 2020 merupakan tahun SUV buat peminat automotif di Malaysia. Dalam senarai 10 model yang paling dinantikan tahun 2020, empat daripadanya merupakan model dalam segmen itu. Berada di tangga ke-sembilan, adalah model SUV kompak, Nissan Kicks.

Dalam artikel terdahulu kami pernah mewar-warkan ada dua model baharu bakal dibawa masuk oleh  Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd (ETCM) dan akan dipasang secara tempatan di kilang pengeluaran milik ETCM di Serendah. Kicks dijangka dilancarkan pada suku ke-4 tahun 2020 dan ia bakal berentap dengan Honda HR-V dan Proton X50.

JOM BACA >> INTIP: Lynk & Co 03+ dikesan sekitar Kuala Lumpur

KLIK UNTUK BESARKAN

8. Honda City 2020

Kami meramalkan generasi kelima Honda City bakal tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun 2020, hampir setahun dari pelancaran globalnya di Thailand. Di negara Gajah Putih itu, Honda hanya menawarkan satu pilihan penjana, iaitu enjin tiga silinder VTEC 1.0 liter yang dilengkapi dengan pengecas turbo dari BorgWarner, dwi Variable Valve Timing Control (VTC) dan Variable Valve Timing and Lift Electronic Control (VTEC).

Enjin ini mampu menjana 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm daya kilas dari 2,000 ke 4,500 rpm. Generasi baharu City ini menepati kriteria yang ditetapkan untuk Kereta Eko Fasa 2 Thailand yang dikatakan lebih ketat dari segi penggunaan bahan bakar dan emisi.

Selain itu Kereta Eko Fasa 2 Thailand telah menetapkan beberapa peraturan ciri keselamatan seperti Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) sebagai ciri standard.

Honda City 2020 untuk pasaran Malaysia bakal dipasang secara tempatan (CKD) di Melaka. Model City hatchback pula dijangka bakal menyusul pada tahun berikutnya dan tanda dagang untuk nama tersebut telah pun didaftarkan di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

KLIK UNTUK BESARKAN

7. Nissan Almera

Selain model SUV kompak, Nissan Kicks, Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd (ETCM) bakal melancarkan generasi baharu sedan segmen-B, Almera (N18) versi Malaysia yang dijangka mempunyai spesifikasi yang sama dengan model dari Jepun. Model ini juga bakal dipasang secara tempatan di kilang pengeluaran milik ETCM di Serendah dan baru-baru ini kelibat unit ujian berceloreng Almera telah berjaya dikesan sekitar Jalan Dutamas Raya.

Sebelum penemuan terbaharu itu, beberapa unit Almera 2020 yang berbungkus telah dikesan atas treler pengangkut di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Almera 2020 akan dikuasakan oleh enjin 1.0 liter turbo dan fasa pengeluaran massa model sedan ini bermula pada suku kedua 2020.

KLIK UNTUK BESARKAN

6. Mitsubishi Xpander

Satu-satunya model MPV tujuh tempat duduk yang termasuk dalam senarai 10 model yang paling dinantikan tahun 2020, tidak lain tidak bukan Mitsubishi Xpander. Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), dijangka memperkenalkan model ini pada separuh kedua 2020 dan menurut maklumat yang diterima, Xpander untuk pasaran Malaysia akan dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

Pengeluaran model ini akan dibuat di bekas kilang milik Suzuki, yang sebelum ini memasang model Swift. Persiapan untuk mengubah suai kilang sedia ada akan bermula sekitar Januari 2020, dan menurut jangkaan pra-pengeluarannya bakal bermula sebelum pertengahan tahun 2020.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> INTIP : Nissan Almera 2020 (N18) mula diuji

5. Perodua Myvi facelift/GT/STYLE

Tahun depan genap tiga tahun generasi ketiga Perodua Myvi berada di pasaran, dan jika mengikut kitaran hayat sesebuah model sepatutnya ia sudah sepatutnya masuk ke fasa facelift. Kami menjangkakan Perodua akan memperkenalkan Myvi yang dikemaskini dengan rekaan yang lebih segar pada tahun 2020.

Sekiranya Perodua ingin melanjutkan lagi hayat model semasa, kami jangka mereka hanya akan memperkenalkan varian serba baharu seperti Myvi GT atau versi crossover STYLE sama seperti Axia. Sebelum ini kami pernah memaklumkan Perodua bakal membangunkan versi crossover untuk model Myvi dan Axia,. Ternyata informasi kami tepat.

KLIK UNTUK BESARKAN

4. Perodua Bezza facelift

Seperti yang kami bongkarkan sebelum ini, Perodua dalam diam sedang mempersiapkan Bezza facelift. Desas-desus mengatakan, model semasa akan dihentikan pengeluarannya pada bulan ini dan ia akan digantikan dengan Bezza facelift.

Menurut info awal yang kami perolehi, Bezza facelift akan menampilkan wajah serba baharu, terutama sekali pada bahagian lampu depan, jeriji dan bampar yang dijangka menampilkan elemen rekaan X. Kami juga difahamkan reka bentuk Bezza facelift besar kemungkinan akan mengalami perubahan yang agak ketara.

Rekaan lampu belakang dijangka akan dikekalkan manakala rekaan bampar belakang turut mengalami perubahan. Enjin dan transmisi model ini akan dikekalkan tetapi ia bakal dilengkapi dengan beberapa ciri baharu seperti Bantuan Pemanduan Selamat (A.S.A 2.0).

KLIK UNTUK BESARKAN

3. Proton X70 CKD

Sepatutnya versi pemasangan tempatan (CKD) model X70 dilancarkan dalam tahun ini, namun disebabkan lambakan stok CBU yang masih belum dihabiskan, Proton terpaksa menangguhkan pelancarannya ke tahun depan. Menurut sumber, ketika ini para penasihat jualan Proton ada yang sedang mengikuti kursus latihan berkaitan produk.

Baru-baru ini, majlis perasmian operasi pembuatan model X70 CKD telah disempurnakan oleh YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Menurut maklumat risikan terbaharu Mat Bond, dijangka model keluaran kilang Tanjung Malim ini akan ditawarkan dalam 7 pilihan varian dengan beberapa penambahbaikan termasuk talaan Pemanduan & Pengendalian dari Proton.

Selain itu, versi 1.5 liter TGDi (Drive E) akan turut ditawarkan selain versi 1.8 liter TGDi sedia ada yang bakal digandingkan dengan transmisi 7-kelajuan dwi-klac (DCT). Sebenarnya ramai yang tidak percaya mengenai kewujudan versi 1.5 liter TGDi (Drive E), namun menurut sumber kami ia memang berada dalam senarai varian yang bakal dikeluarkan nanti. Tunggu!

KLIK UNTUK BESARKAN

2. Perodua D55L

Di tangga kedua kami memilih bakal SUV kompak terbaharu Perodua, namakod D55L yang merupakan kembar kepada model Daihatsu Rocky dan Toyota Raize di Jepun. Menurut sumber, pembangunan model ini sedang berlangsung dan ia mungkin dilancarkan secara rasmi di Malaysia seawal suku keempat 2020.

Setakat ini tiada maklumat terkini mengenai model tersebut, memandangkan tahap kerahsiaan Perodua cukup tinggi. Mengikut spesifikasi, model SUV ini sepatutnya akan berkongsi pelantar yang sama, Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan enjin petrol 1.0-liter turbo yang digandingkan dengan transmisi D-CVT dengan dua saudaranya dari Jepun.

Namun besar kemungkinan versi Perodua nanti hanya akan menggunakan transmisi 4-kelajuan automatik. Kami jangka D55L akan mempunyai gaya yang berbeza berbanding dua model Jepun itu dan ada yang mengatakan model ini mungkin dilancarkan pada awal 2021. Setidak-tidaknya kita akan melihat kelibat sebenarnya terlebih dahulu sekiranya Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) kembali pada tahun 2020.

KLIK UNTUK BESARKAN

1. Proton X50

Di tempat pertama, sudah semestinya model SUV yang paling ditunggu-tunggu pada 2020, iaitu Proton X50. Model yang dibangunkan dari Geely Bin Yue (SX11) ini masih diuji dan kelibatnya telah di kesan beberapa kali di Semenanjung Malaysia.

X50 dijangka dikuasakan oleh enjin 1.5 liter TGDi (Drive E) yang digandingkan dengan transmisi 7-kelajuan dwi-klac (DCT). Sebenarnya di rantau ASEAN, Malaysia merupakan negara kedua yang akan memperkenalkan model ini selepas Filipina.

Di sana, model pemanduan sebelah kiri yang diimport sepenuhnya dari China telah dilancarkan beberapa bulan yang lalu dengan nama Coolray. Yang pastinya versi Malaysia nanti akan di pasang secara tempatan di Tanjung Malim dan bakal dieksport ke pasaran global yang menggunakan pemanduan sebelah kanan.

KLIK UNTUK BESARKAN

Anda rasa model yang ada dalam senarai kami ini bakal menjadi kereta idaman anda nanti? Sama-sama lah kita menabung untuk mendapatkannya.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Proton X70 CKD bakal dilancar pertengahan bulan depan?
JOM BACA >> Illustrasi digital X50 – Tampil dengan sentuhan elemen rekaan terkini Proton
JOM BACA >> Gambaran SUV kompak Perodua D55L
JOM BACA >> Illustrasi digital gambaran Perodua Bezza facelift 2020
JOM BACA >> Tokyo Motor Show 2019 : SUV kompak baharu Daihatsu diperkenalkan – Bayangan awal Perodua D55L?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply